Panas !!! Sarjan Tentera dipecat kerana enggan divaksin bawa kes ke mahkamah

Seorang sarjan tentera yang diberhentikan dan kehilangan pencennya kerana enggan mengambil vaksin Covid-19, akan mengheret pihak berkuasa tentera ke mahkamah.

Wan Ramly Wan Seman yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berbincang dengan peguam bagi mendapatkan ganti rugi dan menyerahkan kepada mereka untuk mengulas apabila tiba masanya.

Difahamkan, seorang peguam terkenal bersetuju mengendalikan kesnya dengan bantuan beberapa individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Sarjan Tentera dipecat kerana enggan divaksin bawa kes ke mahkamah

Persatuan itu adalah sebahagian daripada Gerakan Post Mortem Covid-19 (GPMC), iaitu kumpulan antivaksin berbilang kaum yang terdiri daripada kira-kira 200 NGO.

Peguam dijangka memfailkan kes itu minggu depan dengan sumber berkata, mereka melakukannya secara pro-bono kerana pemecatan itu melanggar hak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan walaupun arahan vaksinasi wajib dikeluarkan oleh tentera di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Semalam, Wan Ramly yang merupakan sebahagian daripada kumpulan itu pergi ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula program vaksinasi.

Bercakap kepada wartawan selepas acara itu, Wan Ramly berkata, keputusannya tidak menerima vaksin adalah muktamad dan beliau sekadar menggunakan haknya.

“Wakil angkatan tentera menemui saya minggu lalu untuk menggalakkan saya menerima vaksin dan kembali bertugas. Saya menolak tawaran mereka dengan sopan dan saya tahu mereka menjalankan tugas mereka.

“Saya menjelaskan alasan saya dan mereka nampaknya faham dan baik kepada saya, tiada paksaan sama sekali. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa tentera kerananya.”

Isu itu menjadi perhatian ramai apabila Wan Ramly “diberhentikan secara tidak terhormat” pada 26 Ogos lalu kerana enggan divaksin.

Beliau sudah berkhidmat lebih 19 tahun dengan Rejimen Askar Melayu Diraja dengan pangkalan terakhirnya di Kem Rasah, Negeri Sembilan. Beliau kehilangan pencen bulanannya kira-kira RM2,200 yang layak diperolehinya dalam setahun lagi.

Wan Ramly dinasihatkan beberapa kali sebelum beliau didakwa tidak mematuhi arahan dan dipecat selepas pihak berkuasa tentera menolak permintaannya untuk dibicarakan di Mahkamah Tentera dan beliau boleh diwakili peguam.

Jurucakap GPMC, Noorazman Mohd Samsuddin berkata, pegawai Istana Negara menerima memorandum mereka semalam.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/07/sarjan-tentera-dipecat-kerana-enggan-divaksin-akan-bawa-kes-ke-mahkamah/

BACA JUGA : ”PM sebut Agong perkenan tiada usul undi percaya”, kata Menteri