Panas !!! Pengusaha restoran Muslim terdesak, mula pinjam Ah Long

Abdul Mukthahir M Ibrahim kini bimbang apabila mengetahui terdapat sebilangan besar pengusaha restoran Muslim mula meminjam daripada sindiket pinjaman wang haram.

“Ia bukan satu idea yang terbaik, tetapi apa yang boleh dilakukan? Ya, saya tahu Ah Long mengenakan kadar faedah yang tinggi namun apa lagi boleh kami lakukan?

“Saya mempunyai kira-kira 4,500 ahli yang mengusahakan 12,000 restoran di seluruh Malaysia. Daripada tujuh cawangan, mereka terpaksa kurangkan kepada lima cawangan sahaja. Daripada lima, kini tinggal tiga. Namun, mereka masih perlu meminjam kepada Ah Long,” kata Mukthahir yang juga Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia.

pengusaha

Dia berkata ahlinya meminjam antara RM100,000 dan RM200,000 daripada Ah Long dan takut untuk meminjam lagi.

Katanya, mereka memerlukan bantuan itu untuk digunakan dalam tempoh jangka pendek selama beberapa bulan lagi.

Manakala Garry Chua daripada Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) berkata dia juga sedar apabila ramai peruncit mendapatkan pinjaman wang melalui sindiket terbabit.

Dia turut meramalkan lebih ramai peruncit berdepan risiko gulung tikar akibat tekanan kewangan yang teruk.

Dalam situasi Covid-19 ketika ini, wang adalah segala-galanya, manakala sumbernya pula adalah soal lain.

Mukthahir berkata: “Kami meminta kerajaan memberi pinjaman mudah dengan kadar faedah yang rendah dan bukannya melalui bank kerana mereka ingin melihat keuntungan tahun lalu. Kami tidak meminta terlalu banyak. Hanya sekitar RM100,000 hingga RM200,000.”

Katanya, secara amnya, bank “tidak mahu mengambil risiko” dengan memberikan pinjaman kepada pengusaha restoran atau peruncit.

“Saya tidak menyalahkan mereka. Mereka hanya ingin melihat keuntungan tahun lalu dan beberapa dokumen lain. Ahli kami tidak mempunyainya. Kami hanya mencatatkan kerugian sahaja pada tahun lalu,” katanya.

Chua yang mengetuai sektor makanan dan minuman MRCA berharap, semua restoran dibenarkan menerima pelanggan yang menerima dos lengkap vaksin untuk makan di premis.

“Tidak ada cara lain kecuali membenarkan kami menerima pelanggan makan di premis,” menurutnya.

Katanya, daripada jumlah yang dipinjam, peruncit yang kebanyakannya terdiri daripada usahawan perniagaan kecil dan sederhana (IKS) dilihat begitu memerlukan dana kecemasan untuk bertahan kira-kira setahun atau lebih.

Ini disusuli perjanjian terbaru bernilai RM200 juta antara Kumpulan Sunway, Kumpulan Perbankan RHB dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd untuk penyewa di tujuh pusat beli-belah milik Sunway.

Peruncit yang layak akan mendapat opsyen overdraf dengan kadar faedah yang kompetitif, kata CEO Sunway Malls & Theme Park HC Chan

Perjanjian pinjaman itu menyelesaikan dua perkara iaitu operator pusat beli-belah perlu mengekalkan penyewa sementara menunggu pemulihan ekonomi manakala penyewa pula memerlukan modal baharu.

“Mereka perlu bantuan untuk bertahan dalam tempoh enam ke 12 bulan atau lingkup. Kebanyakan peruncit menggunakan segala simpanan dan rizab yang ada. Suntikan modal baharu dan tepat amat penting dan diperlukan segera,” menurut Chan.

Chan berkata Sunway Malls adalah yang pertama memberi kelonggaran bayaran sewa pada Mac tahun lalu.

Perjanjian baharu itu dilakukan ketika peruncit di sekitar Lembah Klang sukar mendapatkan pinjaman daripada bank dan beralih kepada peminjam alternatif.

Penyelesaian pinjaman ‘peer-to-peer’ (P2P), CapBay, yang memberi perkhidmatan kepada industri berskala kecil dan sederhana berkata mereka menerima maklum balas yang tinggi ketika pandemik.

Pengasas bersama dan CEO CapBay Ang Xing Xian memberitahu FMT bahawa maklum balas itu diterima daripada perdagangan runcit dan borong.

Katanya, mereka berminat untuk mendapatkan bantuan pinjaman daripada P2P kerana kelulusannya lebih cepat iaitu dalam tempoh satu ke dua minggu selain mudah dan boleh dilakukan secara digital.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020, purata permintaan pinjaman daripada usahawan IKS adalah sekitar RM187,000, yang jumlahnya sama seperti ahli persatuan Mukthahir.

Kadar faedah lebih tinggi berbanding pembiayaan biasa ditawarkan oleh bank, katanya.

Satu lagi sumber industri memberitahu pinjaman sekitar RM200,000 yang cuba diperolehi oleh kebanyakan peruncit menunjukkan mereka memerlukan dana untuk bertahan dalam tempoh lebih enam bulan atau sekitar tempoh itu.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/08/ah-long-mula-sambar-pengusaha-restoran-muslim-bagi-pinjaman/

BACA JUGA : Panas !!! Wujud usaha untuk haramkan Umno