Panas !!! Pemimpin Pas rela letak jawatan dalam kerajaan PN

Panas !!! Pemimpin Pas rela letak jawatan dalam kerajaan PN

Walaupun dia sediri mendapat kedudukan atas lantikan politik, Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, tetap tidak bersetuju untuk membiarkan ahli politik mengetuai agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malah kata timbalan ketua Pemuda PAS itu, dia bersedia mengundurkan diri dari menjadi pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) jika kerajaan memberi jaminan kekosongan itu nanti diisi dengan seseorang dari partinya juga.

Untuk rekod PTPK adalah badan berkanun yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia bertujuan mengagihkan pinjaman untuk kursus latihan kemahiran yang bertauliah.

Kementerian Sumber Manusia diketuai Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, manakala timbalannya ialah ahli Jawatankuasa Pusat PAS Awang Hashim.

Pagi tadi Ahmad Fadhli tampil sebagai satu-satunya ahli parlimen yang menjadi panel dalam forum anjuran Bersih bagi membincangkan mengenai langkah pembaharuan jawatan dalam GLC dan badan berkanun dilantik.

Bercakap atas kapasiti peribadi, Ahmad Fadhli berkata dia bersetuju secara prinsip untuk membiarkan teknokrat yang berkelayakan menguruskan syarikat seperti itu, bukannya ahli politik.

“Sebab itu secara peribadi, saya berharap amalan ini dapat diperbaiki mulai sekarang.

“Kita perlu memperbaikinya dengan melantik mereka yang benar-benar layak, memiliki pengalaman dan benar-benar dipercayai untuk memimpin GLC,” katanya.

Sedia lepas bila-bila masa

Ahmad Fadhli juga tidak bersetuju dengan kuasa mutlak perdana menteri untuk membuat lantikan politik ke jawatan dalam kerajaan.

“Tetapi, isunya, selalunya, pelantikan ini ditentukan oleh perdana menteri ‘secara mutlaknya’. Bagi saya, ini perlu diperbaiki mulai sekarang, ” katanya.

Ahli parlimen Pasir Mas itu juga mengakui perkara berkenaan adalah amalan “tidak sihat”.

Ahmad Fahdli memegang jawatan di PTPK itu sejak April 2020, sebulan selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan sebelum diganti dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.

Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, PAS – seperti Umno – gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan namun dengan langkah dibuat Bersatu kedua-dua parti berkenaan berjaya menguasai Putrajaya dan hampir semua negeri.

Semasa PH mentadbir negara gabungan itu melakukan banyak pembaharuan dalam lantikan ke jawatan tertinggi GLC dengan mengutamakan individu profesional, bukan lagi ahli parlimen.

Panel yang turut menyertai forum Bersih hari ini
Ketika berkempen bagi menghadapi PRU ke-14 pada 2018 PAS menawarkan kerajaan teknokrat iaitu memberikan tugas kepada seseorang yang pakar dan bidang tertentu selain memiliki kemampuan intelektual.

Selain Ahmad Fadhli, Ahli Parlimen Pasir Puteh merangkap Ketua Ulama PAS Pusat Nik Muhammad Zawawi Salleh turut diberi jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, pula diberikan jawatan pengerusi Institut Terjemahan Buku Negara.

“Saya bersedia melepaskan kedudukan saya pada bila-bila masa, tetapi jika saya mengundurkan diri, ini adalah dengan syarat bahawa orang yang menerima dan menggantikan tempat saya adalah ahli parlimen PAS atau seseorang yang akan dilantik oleh PAS, supaya dasar PAS dapat diteruskan,” kata Ahmad Fadhli.

Ahmad Fadhli juga mengakui realiti bahawa kerajaan PN sekarang memiliki majoriti yang tipis adalah antara faktor yang membawa kepada pelantikan politik.

Pada masa sama dia memberi jaminan ahli parlimen PAS tidak akan meninggalkan PN walaupun tidak diberikan sebarang jawatan GLC.

“Jawatan GLC sebagai umpan untuk sokongan kepada kerajaan, itu tidak betul, tetapi untuk menafikannya 100 peratus pun agak tidak tepat,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/576140