Panas !!! MT Umno minta Muhyiddin letak jawatan segera

Panas !!! MT Umno minta Muhyiddin letak jawatan segera

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengisytihar darurat berhubung krisis Covid-19.

Dalam hantaran di Facebook, Puad mendakwa pemimpin PPBM menyalahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung kegagalan itu semasa pertemuan “penuh emosi” di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara malam tadi.

“Benarkah ‘ill advise’ kepada Muhyiddin itu adalah mereka?” tanya beliau.

Lebih 10 kenderaan dipercayai membawa anggota Kabinet dilihat memasuki kediaman Muhyiddin beberapa jam selepas persidangan khas di Istana Negara antara Agong dan Raja-raja Melayu lain tamat.

Seorang ahli PPBM berkata, Kabinet dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mahu membincangkan keputusan mesyuarat Majlis Raja-raja selepas keputusan itu diumumkan.

Beliau berkata, orang dalam parti itu juga menolak khabar angin bahawa perdana menteri mahu meletak jawatan dengan berkata, ia adalah sebahagian daripada “propaganda ahli politik degil yang mahu mengambil kesempatan bermain politik.”

Puad berkata penolakan itu bermakna Agong menyedari bahawa cadangan perisytiharan darurat adalah muslihat politik semata-mata, bukannya langkah untuk memerangi pandemik.

“Paragraf ke-3 kenyataan media Istana Negara, dinyatakan…’Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan’.”

“Kalau Agong yakin, kenapa perdana menteri tak yakin? Apakah perdana menteri cuba membohongi Agong?” tanya beliau.

Puad juga berkata ramai pakar perundangan menyebut bahawa Agong perlu mendengar nasihat perdana menteri, seperti yang termaktub dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Tapi nampaknya nasihat perdana menteri (Muhyiddin) tidak diterima. Maka di manakah kredibiliti (sebagai) seorang perdana menteri?

“Syukur, Agong tidak dipengaruhi oleh ‘game politik’ yang boleh mengheret negara ke kancah lebih parah. Kesejahteraan rakyat lebih utama. Sewajarnya Muhyiddin berundur.”

Dalam pada itu, Liew Chin Tong dari DAP menggesa Muhyiddin meminta menteri kanan Azmin dan Hamzah letak jawatan sebagai langkah bagi membolehkan kerajaan bergerak ke hadapan.

“Untuk mewujudkan niat baik dalam hubungan politik 2 hala, Muhyiddin harus meminta Hamzah dan Ali meletak jawatan berhubung nasihat yang silap kepada Agong, selain melahirkan suasana politik toksik yang menyebabkan Kabinet mengambil keputusan untuk mengisytiharkan darurat,” kata Liew dalam kenyataan.

Dengan berbuat begitu katanya, ia akan menzahirkan kerjasama lebih erat antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang untuk faedah lebih besar kepada negara semasa krisis Covid-19.

“Kerajaan tidak harus takut akan Parlimen dan tidak melayan pembangkang sebagai musuh negara.

“Dengan adanya layanan lebih adil kepada ahli Parlimen pembangkang, pentadbiran Muhyiddin berpeluang menjadikan krisis yang berlaku sebagai detik kelahiran semula demokrasi berparlimen di negara ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/26/muhyiddin-perlu-letak-jawatan-susulan-kemelut-darurat-kata-ahli-mt-umno/

COMMENTS