Mogok Doktor Kontrak : Berikut senarai 24 Hospital dijangka terlibat

Doktor-doktor kontrak akan bergerak keluar secara beramai-ramai sebagai tanda tunjuk perasaan daripada pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan di seluruh negara pada pukul 11 pagi, Isnin ini.

Menerusi kenyataan Hartal Doktor Kontrak, ia merupakan kesepakatan yang telah dipersetujui secara bersama oleh doktor-doktor kontrak.

Kenyataan itu menjelaskan pergerakan tersebut dilakukan berdasarkan tiga keadaan iaitu kategori tidak kritikal yang menuntut doktor kontrak berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital masing-masing dan bergerak keluar secara besar-besaran melalui pintu utama.

Doktor

Kerajaan perlu menyelesaikan isu doktor kontrak secara holistik bagi mengelakkan sistem kesihatan awam tidak terjejas. GAMBAR HIASAN

“Sebelum keluar, diminta (doktor kontrak) untuk passover perkara penting kepada pegawai perubatan yang masih ada di dalam wad untuk memastikan tiada pesakit yang terjejas rawatam.

“Digalakkan untuk membawa bersama plakad dan merakam video perarakan untuk dimuat naik ke media sosial,” katanya kenyataan itu hari ini.

Bagi situasi di unit rawatan kritikal seperti Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Unit Rawatan Koronari (CCU) , Wad Kebergantungan Tinggi (HDW) dan Wad Rehabilitasi Koronari (CRW), pergerakan keluar tepat pada waktu itu hanya akan dilakukan selepas passover kepada doktor tetap yang bertugas pada hari berkenaan.

“Peraturan untuk bekerja dilaksanakan di sini. Jika diperlukan dan dipanggil oleh pihak atasan, semua yang terlibat diminta kembali ke stesen bertugas masing-masing.

“Bagi pasukan Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan hospital daerah, digalakkan hanya untuk melakukan solidariti dengan memegang plakad dan mengambil video untuk dimuat naik ke media sosial pada masa yang dijadualkan,” kata kenyataan itu lagi.

Dilaporkan, sebanyak 24 hospital di seluruh negara dicadangkan menjadi pusat kepada gerakan hartal itu termasuk Hospital Tuanku Fauziah, Perlis; Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah; Hospital Pulau Pinang, Pulau Pinang; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; Hospital Taiping, Perak; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Hospital Sultan Ismail, Johor.

Hospital Sultanah Aminah, Johor; Hospital Melaka; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Putrajaya; Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Selayang, Selangor; Hospital Shah Alam, Selangor, Hospital Ampang, Selangor; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor; Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan; Hospital Umum Sarawak
Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau, Sabah dan Hospital Labuan turut terlibat.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/07/doktor-kontrak-tunjuk-perasaan-jam-11-pagi-lebih-20-hospital-terlibat/

BACA JUGA : Bukan Fake : Jem di Tol Gombak libatkan kenderaan dapat kebenaran