Panas !!! MIC minta BN kaji semula kerjasama dengan Pas di Kedah

Panas !!! MIC minta BN kaji semula kerjasama dengan Pas di Kedah

Kecewa berikutan tiada peruntukan untuk rumah ibadat bukan Islam, MIC Kedah menggesa BN mengkaji semula hubungan kerjasama dengan PAS di negeri itu.

Pengerusi MIC Kedah, S Ananthan berkata, janji kerajaan negeri pimpinan PAS untuk menjaga kebajikan masyarakat bukan Melayu dan Islam hanya sekadar ‘manis di mulut’.

“Sejak Kedah diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS, situasi menjadi semakin sukar kepada komponen BN termasuk Umno.

“Saya percaya BN pusat perlu segera mengadakan perbincangan dengan PAS mengenai kerjasama di peringkat negeri,” katanya kepada Malaysiakini.

Ananthan kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa agak sukar untuk memberi peruntukan kepada tempat ibadat bukan Islam.

Bekas senator itu berkata, pendirian PAS Kedah itu berbeza dengan sikap bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberi peruntukan kepada tempat ibadat bukan Islam di Kelantan.

“Begitu juga bekas perdana menteri Najib (Razak) yang memberi berpuluh juta untuk pembangunan tempat ibadat bukan Islam.

“Tiada siapa menyangkal kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Tapi apa kena-mengena agama rasmi dengan peruntukan tempat ibadat bukan Islam?” soalnya.

Sanusi semasa perbahasan Belanjawan Negeri Kedah 2021 baru-baru ini berkata peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibuat atas dasar Islam adalah agama rasmi persekutuan.

“Kerajaan negeri membantu bukan atas dasar agama. Kita bagi atas dasar pendidikan membina dewan itu boleh. Saya boleh bincang dan sembang bila-bila boleh,” katanya menjawab cadangan Adun Bukit Selambau Dr R Summugam agar peruntukan sebanyak RM500,000 diberikan kepada kuil Hindu di Kedah.

Bagaimanapun, Ananthan berkata kerajaan negeri di bawah BN dan PH sebelum ini ada memberi peruntukan khas kepada tempat ibadat bukan Islam.

“Zaman BN saya sebagai (bekas) pegawai khas MB boleh pastikan ada peruntukan (untuk rumah ibadat bukan Islam).

“Ketika pemerintahan PH, saya pernah membaca laporan peruntukan khas. Jadi, apa masalah Sanusi?” soalnya.

Sementara itu, Ananthan juga berkata BN Kedah sentiasa diperkecilkan oleh PAS negeri berhubung pelantikan jawatan dan pengagihan peruntukan.

“Saya nak tegaskan bahawa perlu satu perbicangan segera di peringkat pusat. Jika tidak, maka kita boleh lupakan (untuk menang) Kedah pada PRU akan datang,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/552331

COMMENTS