Panas !!! JKN Kedah sahkan silap beri vaksin dos kedua

Guru

JKN Kedah sahkan silap beri vaksin dos kedua. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah memohon maaf kepada seorang penerima vaksin Covid-19 dan keluarganya berhubung kesilapan pemberian suntikan dos kedua yang berlaku di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Sik pada 5 Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, kesilapan itu berlaku disebabkan jururawat di PPV berkenaan tidak memeriksa kad suntikan vaksin penerima terbabit sebelum membuat suntikan.

“Kejadian dilaporkan pada 5 Ogos 2021 pada 8.25 pagi di Bilik Suntikan 1, PPV Dewan Al Hana, Sik. Penerima vaksin tersebut adalah seorang wanita berumur 58 tahun yang hadir ke PPV itu untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNtech.

“Kesilapan telah berlaku apabila jururawat kesihatan memberi suntikan vaksin keluaran Sinovac. Kesilapan disedari oleh petugas yang lain dan terus memaklumkan kepada penyelia dan pengurus PPV,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada hari tersebut terdapat lebih daripada satu jenis vaksin digunakan di dewan berkenaan iaitu 1,043 suntikan bagi dos pertama vaksin Pfizer-BioNtech, 141 dos kedua vaksin Sinovac dan 223 dos kedua Pfizer-BioNtech.

JKN

Menjelas lanjut, Dr Othman berkata, pengasingan dan laluan penerima suntikan ke bilik imunisasi dos pertama Pfizer-BioNtech, dos kedua Pfizer-BioNtech dan dos kedua Sinovac telah dilakukan supaya tidak berlaku kesilapan suntikan vaksin yang berbeza.

Katanya, garis panduan pengendalian vaksin juga sentiasa diberi oleh penyelia jururawat sebelum bermulanya sesi imunisasi setiap hari.

“Jururawat terbabit telah mengakui kesilapan yang dilakukan dan telah memohon maaf secara peribadi kepada penerima vaksin berkenaan. Beliau juga telah diberi teguran, diberi kaunseling dan direhatkan daripada tugasan pada hari tersebut,” katanya.

Dr Othman berkata, sejurus kesilapan itu disedari, penerima vaksin tersebut telah dirujuk kepada pegawai perubatan untuk kaunseling dan diperjelaskan mengenai kesan sampingan vaksin yang biasa berlaku selepas suntikan.

“Penerima vaksin tersebut menerima baik penerangan yang telah diberikan dan memaafkan jururawat tersebut. Pemantauan telah dibuat terhadap penerima vaksin itu sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, JKN Kedah prihatin dengan kejadian yang berlaku dan bagi memastikan kesilapan tidak berulang, pematuhan kepada garis panduan pengendalian vaksinasi akan lebih ditekankan kepada petugas di PPV dan sentiasa dipantau oleh penyelia atau pengurus PPV.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/740709/jkn-kedah-perjelas-isu-silap-beri-vaksin-dos-kedua

BACA: Panas !!! Dalam tempoh 10 hari ini kerajaan pinjam RM11.5 bilion