Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menegaskan tidak perlu diadakan pilihan raya apabila empat ADUN Melaka termasuk dirinya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Katanya, apa yang patut berlaku hanyalah peralihan kuasa kepada pihak yang memiliki majoriti, iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 15 kerusi di dalam DUN Melaka tanpa perlu melibatkan rakyat.
Namun, ujarnya kerajaan negeri diteraju bersama Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang sudah hilang kepercayaan dan majoriti tetap mahukan pilihan raya, dalam keadaan di mana rakyat masih cuba bangkit daripada dipukul pandemik COVID-19.
IDRIS: Saya tak takut pilihan raya, tapi kenapa majoriti dinafikan? – Gambar fail
“Dalam Perlembagaan Negeri ada menyebut, mereka yang mempunyai sokongan majoriti itu perlu membentuk kerajaan dan melantik seorang ketua untuk mentadbir negeri dan bawa kepada pengetahuan Yang di-Pertua Negeri.
“Rakyat tahu kalau pihak yang mempunyai majoriti dibenarkan untuk mentadbir negeri, silakan kerana peralihan kerajaan tidak melibatkan rakyat tetapi hanya beberapa pertukaran posisi dalam kalangan Exco dan ketua-ketua jabatan.”
Bagaimanapun, maklum Idris, ada yang mengatakan tindakannya meminta kerajaan supaya tidak diadakan pilihan raya adalah kerana takut.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu, malah menjelaskan bahawa mereka yang menuduhnya itulah yang mempunyai sesuatu yang ingin disembunyikan, dan menggunakan rakyat sebagai alat untuk melunaskan rancangan mereka.
“Hari ini mereka yang mempunyai majoriti ditolak dan membubarkan DUN, bagaimana caranya wallahu’alam, dan akhirnya mengheret rakyat dalam kancah pilihan raya.
“Saya tak takut kepada pilihan raya, tapi saya nak tanya kepada pemimpin tertinggi UMNO tersebut mengapa demokrasi dimandulkan di Melaka?
“Saya percaya ada perkara yang mereka takut, itu sebab majoriti dinafikan,” katanya lagi.
Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rakyat-diperbodoh-majoriti-dinafikan-idris-haron-323753