Panas !!! Hadi dakwa Umno dah jauh menyimpang

Panas !!! Hadi dakwa Umno dah jauh menyimpang

PAS menolak mufakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional (MN) yang asal, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.

Ini susulan tekanan daripada Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya mahu memfokus ke arah MN.

“PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.

“PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

“Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun tidak menyebut Umno secara khusus, kenyataan Abdul Hadi itu dilihat merujuk kepada kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa PAS untuk menghormati piagam MN.

Semalam, Zahid membuat kenyataan tersirat, dipercayai merujuk kepada PAS supaya tidak mengulangi kegagalan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Semangat 46 dengan memilih sekutu yang salah dalam pilihan raya kelak.

Hal ini selepas Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

PAS bagaimanapun memutuskan untuk kekal bersama PN menjelang PRU.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat lebih lantang menyuarakan pandangannya.

Tuan Ibrahim berkata, mereka telah sepakat membentuk kerajaan PN bersama-sama, dan persoalan tentang lompat parti tidak timbul saat itu kerana semuanya ‘gembira’ atas kerjasama tersebut.

“Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama.

“Hebatkah kita kerana merasai kita kuat dengan ahli berjuta, lalu kita rasa dahulu sama dengan sekarang.

“Apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding, lalu kita berangan-angan akan pasti menang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga merujuk kepada keengganan Umno memberi laluan kepada Bersatu berhubung isu pengagihan kerusi dan rancangan untuk bertanding di semua kerusi parti itu.

Tambahnya, PAS masih berpendirian bahawa kerjasama antara tiga parti Melayu itu adalah jalan yang terbaik.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa Umno dan PAS telah bersetuju untuk menjemput Bersatu menyertai MN.

“Sayangnya surat persetujuan (Bersatu) itu tidak disambut sehingga kini.

“Ia terjadi kerana Umno kecewa bila PN didaftarkan sebagai gabungan parti. Ia dilihat penting bagi kerajaan PN kerana ada parti yang mendukung kerajaan,” katanya.

Untuk rekod, ketika PAS dan Umno bersetuju mengukuhkan MN, ia dipersetujui dan ditandatangan oleh hanya kedua-dua parti itu tanpa melibatkan Bersatu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/569143