Panas !!! Didakwa buat ‘Uturn’ sokong Muhyiddin, ini penjelasan DAP

Didakwa buat ‘Uturn’ sokong Muhyiddin, ini penjelasan DAP.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan adalah mustahil bagi DAP untuk melaksanakan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus mengkhianati Pakatan Harapan (PH) pada usul undi percaya di Parlimen pada bulan September nanti.

Ketua Pembangkang Negeri Perak itu menambah, hal ini kerana DAP sudah menandatangani persetujuan di dalam koalisi PH bahawa mereka akan komited menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu kelak.

didakwa

Pemimpin pembangkang termasuk daripada DAP menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sekali gus membuktikan mereka tidak akan membuat perjanjian CSA dengan Muhyiddin.

Jelas beliau, dakwaan terdapat kemungkinan ada ahli-ahli Parlimen DAP yang dikatakan bersedia menandatangani perjanjian CSA dengan kerajaan Muhyiddin bagi menyokong beliau pada usul undi percaya di Parlimen bulan hadapan, tiada asas kukuh.

“DAP sudah tandatangan dan komited mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri daripada koalisi PH, jadi bagaimana pula sekarang mereka hendak buat perjanjian CSA dengan Muhyiddin pula? Itu akan menimbulkan masalah.

“Kalau benar sekalipun, dakwaan ahli Parlimen DAP bersedia menyokong perjanjian CSA itu mungkin sekadar pandangan satu atau dua ahli Parlimen parti itu sahaja yang sekadar bersifat peribadi.

“Namun, saya yakin bila sampai masa mereka diarahkan parti untuk menyokong Anwar (menjadi Perdana Menteri), mereka tetap akan sokong juga,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi politik yang semakin bertiup kencang mengatakan DAP akan menyokong Muhyiddin dalam usul undi percaya kepimpinan Perdana Menteri melalui perjanjian CSA.

Desas-desus itu semakin kuat kedengaran setelah Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua daripada DAP baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai usaha sia-sia menjatuhkan Muhyiddin yang berkemungkinan besar akan berpihak atau memberi manfaat kepada UMNO.

Bahkan, sewaktu sidang khas Parlimen berlangsung pada 26 hingga 31 Julai lalu, seorang lagi Ahli Parlimen daripada DAP, Dr Ong Kian Ming pula membangkitkan cadangan satu perjanjian moratorium politik pada saat krisis Covid-19 memuncak, perlu diwujudkan di antara kerajaan PN dan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Beberapa portal media tempatan melaporkan, ada kejutan terbesar dijangka berlaku pada penentuan usul undi percaya kepimpinan Muhyiddin, berdasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen DAP dan PKR cenderung berpihak kepada PN.

Malah, keyakinan PN untuk meraih majoriti itu akan diteruskan pula dengan satu rombakan Kabinet sebagai tanda kepimpinan serius untuk memastikan survival kerajaan bertahan sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan.

Perkara-perkara itu dipercayai antara yang dibangkitkan dalam pertemuan khas pemimpin-pemimpin PN diketuai Perdana Menteri di Putrajaya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut menafikan spekulasi penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dipercayai ‘akan menyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan PN dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.

Beliau berkata, ini termasuk dakwaan bahawa DAP akan memeterai perjanjian CSA dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, Ahli Parlimen Kapar itu yakin semua ahli Parlimen pembangkang ‘tidak lari’ malah sepakat bersama PH dan menyokong Anwar.

“Ini semua tidak betul. Mereka (DAP) tidak terlibat langsung dalam CSA ini dan saya telah mengesahkan dengan mereka. Semua bersama kita. Tidak ada seorang pun lari.

“Malah, ada antara pemimpin DAP pun sudah buat kenyataan untuk tidak menyokong Muhyiddin. Jadi tunggulah sidang Parlimen nanti,” katanya.

Berita Penuh : https://premium.sinarharian.com.my/article/152938/fokus/mustahil-dap-khianati-ph

BACA JUGA : Covid-19 : Petugas makmal Wuhan mungkin dijangkiti ketika ambil sampel kelawar