Panas !!! Bekas Menteri pula tanya betulkah tiada skandal di Ladang Getah Malaysia?

Panas !!! Bekas Menteri pula tanya betulkah tiada skandal di Ladang Getah Malaysia?

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendesak Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan mengenai dakwaan “skandal tanah” membabitkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sekiranya perkara itu benar.

Kok berkata beliau terkejut membaca surat ditularkan di media sosial yang mana terdapat arahan daripada pejabat Khairuddin dan kementerian kepada Ketua Pengarah LGM, Zairosani untuk membatalkan moratorium dan membenarkan dua urus niaga terbabit.

“Sekiranya dokumen dan dakwaan di atas adalah benar, Khairuddin wajib segera menjelaskan mengapa beliau mengarah penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran itu,” kata bekas Menteri Industri Utama ketika pemerintahan Pakatan Harapan dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan arahan Khairuddin membatalkan moratorium penjualan serta sewaan hartanah LGM.

Kok turut mempersoalkan bagaimana Khairuddin membenarkan pajakan lot hartanah agensi itu terletak di Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation, yayasan yang rapat dengan PAS di bawah harga pasaran iaitu 70 sen per kaki persegi sedangkan harga pasarannya dianggarkan RM2.50 per kaki persegi.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) turut dikatakan menjual tanah seluas 8.8 ekar yang merupakan tanah warisan di Jalan Ampang pada harga RM1,032.92 per kaki persegi, di bawah harga pasaran (RM1,400 kaki persegi) kepada Syarikat Eurowhite Sdn Bhd.

Kok berkata, sebelum beliau meninggalkan kementerian itu LGM mempunyai rezab wang tunai berjumlah RM1.5 bilion dan keadaan kewangannya juga baik yang boleh disahkan bekas Pengerusi LGM, Sankara Nair.

“Saya pernah mengarahkan Sankara Nair mengenakan moratorium penjualan semua hartanah milikan LGM kerana saya mahu LGM kembali ke objektif asal iaitu memberi fokus terhadap penyelidikan getah dan tidak beralih daripada objektif ini.

“Khairuddin mesti faham semua dana LGM dimiliki industri dan juga orang awam. Beliau mesti memberi justifikasi sekiranya ingin menyentuh urusniaga hartanah LGM dan tidak campur tangan dalam keputusan agensi itu,” katanya.

Beliau juga mendesak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz mengarahkan siasatan segera dakwaan ditularkan di media sosial itu berkaitan salah laku Khairuddin.

“Penafian LGM dalam kenyataannya hari ini agak kabur dan merupakan gimik sahaja. Surat-menyurat rasmi oleh MPIC dan pejabat MPIC yang tular di media sosial harus disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Semalam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkait dengan tanah dimiliki LGM dan turut membabitkan penglibatan Khairuddin.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/28/betulkah-tiada-skandal-di-lembaga-getah-malaysia-kok-tanya-menteri-pas/