Panas !!! Asyraf dedah usaha haramkan Umno temui kegagalan

Panas !!! Asyraf dedah usaha haramkan Umno temui kegagalan

Usaha mengharamkan UMNO gagal apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 16 bekas ahli parti itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi pengisytiharan UMNO sebagai tidak sah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau bersama barisan kepimpinan sayap parti mengucapkan syukur dengan keputusan mahkamah itu dan menyifatkan Allah memelihara UMNO sebagai keramat orang Melayu.

 

Katanya, kumpulan terbabit bertindak sedmikian kononnya UMNO telah melanggar perlembagaan, tetapi akhirnya mereka yang kalah.

“Allah pelihara UMNO! Alhamdulillah,” katanya ringkas menerusi akaun Facebooknya.

Mahkamah Persekutuan hari ini, dengan lima hakim, yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azhar Mohamed sebulat suara menolak permohonan itu.

 

Menurutnya, Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak bertentangan dengan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, apa jua keputusan parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Pada 25 Januari lalu, 16 bekas ahli UMNO itu mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang memberikan pelanjutan masa untuk UMNO mengadakan pemilihan.

Peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, semua ahli UMNO terbabit bukan mencabar keputusan dalaman parti politik itu secara langsung.

 

Beliau berkata, kumpulan itu mencabar keputusan RoS atas alasan lanjutan masa yang diberikan dicemari dengan kesalahan undang-undang, keadaan tidak rasional dan prosedur yang salah.

Kumpulan itu terdiri daripada Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd. Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd. Wahid, Mohd Hikamal Md. Hassim, Muzamzamir Abd. Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Terdahulu, panel Mahkamah Persekutuan membangkitkan isu sama ada keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah betul dari segi fakta apabila bergantung kepada Seksyen 18C serta sama ada seksyen itu relevan dengan persoalan undang-undang yang terdapat dalam rayuan ini.

Turut bersidang, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Berita Penuh :https://malaysiagazette.com/2021/03/03/allah-pelihara-umno-asyraf/