Panas !!! Anwar didakwa sudah 4 bulan dimaklum konflik PKR di Negeri Sembilan

MoU

Anwar didakwa sudah 4 bulan dimaklum konflik PKR di Negeri Sembilan.Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui ketidakpuasan hati kepimpinan parti negeri terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar berkata, surat akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Aminuddin yang telah ditandatangani ketua-ketua cabang dan sayap parti serta yang berjawatan dalam MPN juga sudah diserahkan kepada Anwar kira-kira empat bulan lalu.

“SD itu telah dihantar empat bulan lepas dan dalam pengetahuan Presiden. Sebab itulah kita membuat keputusan untuk membuat kenyataan media berhubung perkara itu semalam (Ahad).

“Memang saya yang membacakan kenyataan media memorandum itu, tapi ia bukan pendapat saya seorang. Itu kenyataan bersama dan telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum semuanya bersetuju,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Isnin.

Beliau berkata, majlis membaca memorandum menolak Aminuddin pada petang Ahad itu juga telah dimaklumkan kepada semua yang menyokong.

Katanya, ia termasuk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR yang telah menandatangani SD tersebut.

Anwar

Bagaimanapun, katanya, daripada empat ADUN PKR di negeri ini, hanya ADUN Labu, Ismail Ahmad yang hadir.

“Kalau itu kenyataan saya seorang, mereka yang namanya disertakan itu boleh mengambil tindakan terhadap saya.

“Kenyataan itu sah kerana ia berkait rapat dengan SD yang telah ditandatangani mereka,” jelas beliau.

Sementara itu, berkenaan penafian beberapa cabang terlibat membuat kenyataan itu, Yusof berkata, ia tidak ada kaitan dengan mereka kerana sokongan itu datangnya daripada ketua cabang.

“Yang kita pegang adalah ketua-ketua Cabang dan mereka bersama dengan kita,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan sesi dialog dengan Aminuddin pada bila-bila masa berkenaan masalah yang berlaku.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan tiga ADUN daripada PKR Negeri Sembilan menafikan terlibat dalam membuat kenyataan media bahawa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Kenyataan berhubung perkara itu mula tersebar menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp pada malam Ahad yang turut mengaitkan nama ADUN Sri Tanjung, Datuk M Ravi; ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.

Selain itu, Timbalan Ketua Cabang Kuala Pilah, Shahran Kaat turut membuat penafian apabila mendakwa pihaknya tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat ahli jawatankuasa bagi mengambil ketetapan dalam isu tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat peribadi Ketua Cabang PKR Cabang Kuala Pilah dan tidak melambangkan keputusan sebulat suara daripada ahlinya.

“Justeru beliau telah mengkhianati mandat yang telah diberikan kepadanya dengan membelakangkan pandangan dan suara ahli dalam membuat sesuatu keputusan dengan membabitkan nama cabang di sini,” katanya.

Begitu juga dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Muhamad Affandi Abdul Malik yang turut menafikan terlibat berikutan namanya turut disenaraikan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/159974/BERITA/Politik/Anwar-tahu-masalah-di-NS-sejak-empat-bulan-lalu

BACA: Hujah Idrus ‘mengarut’ dan memalukan Pejabat Peguam Negara – NGO