Panas !!! Ahmad Maslan dedah kenapa dirinya tak terpilih jadi Menteri

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata beliau adalah mangsa ketiadaan akta dana politik sehingga menyebabkan tidak disenarai dalam Kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap dalam forum anjuran Sinar Harian malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata akibat kegagalan memperkenalkan akta berkenaan, beliau dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima sejumlah wang dana politik dan tidak membayar cukai.

“Saya dituduh menerima sejumlah wang tetapi kononnya saya tidak membayar cukai.

Maslan

“Sebab itu saya tidak termasuk dalam senarai (jemaah kabinet) Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, kerana ada masalah sebab itu,” katanya.

Beliau merujuk kepada dua tuduhan pengubahan wang haram kerana gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tuduhan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM.

“Kenapa saya jadi mangsa? Kerana kita tak ada akta dana politik. Kalau ada akta dana politik, contohnya yang menyatakan kita tidak boleh terima sebarang dana dari luar negara, maka ia jelas dan nyata bahawa dana itu tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri kewangan era pentadbiran Najib berkata, sebanyak RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram 1MDB sudah dipulangkan selepas diterima dan ia sudah pun diperjelaskan dalam mahkamah oleh bekas Perdana Menteri ke-6.

“Dana politik diterima daripada Kementerian Arab Saudi dan ia diperakui Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu termasuk pegawai tinggi SPRM dan AmBank yang menerima wang berkenaan. Ini semua dana politik dan diberikan kepada 80 individu termasuk saya,” katanya.

Ahmad yang menyokong penuh penggubalan akta pembiayaan dana politik berkata, sejak 2009 kerajaan Barisan Nasional sudah mula menggerakkan usaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik namun usaha itu terhenti seketika dan disambung semula pada 2016.

Penglibatan dengan pihak berkepentingan akhirnya membentuk jawatankuasa perundingan kebangsaan bagi pembiayaan dana politik yang pada 2016 dilaporkan membuat 32 saranan termasuk mengemukakan Rang Undang-Undang Dana dan Perbelanjaan Politik (PDEA).

“Aktanya sudah ada iaitu Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik tetapi ia tidak dibentang juga. Urusetianya adalah Institut Integriti Malaysia,” katanya yang mendakwa penolakan terhadap RUU berkenaan datang daripada pembangkang yang khuatir sekiranya syarikat yang disenaraikan, menjadi sasaran kerajaan kerana memberi sumbangan kepada mereka.

Beliau yang dicalonkan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat mencadangkan agar satu jawatankuasa Parlimen khas dibentuk dalam usaha menghidupkan kembali RUU mengenai pendanaan politik.

Jadi saya menyokong penuh (penggubalan akta ini) tetapi ia juga perlu diteliti misalnya bagaimana kalau dana itu daripada dana awam, dana swasta atau bagaimana kalau dana itu dalam bentuk barang,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/11/dana-politik-saya-jadi-mangsa-tak-dipilih-jadi-menteri-oleh-muhyiddin-ismail-kata-ahmad-maslan/

Baca Juga : Panas !!! Muhyiddin dedah sokong Ismail Sabri kerana mahu elak PH jadi kerajaan