“Paling tinggi dulu paras buku lali, sekarang sampai pinggang”

“Paling tinggi dulu paras buku lali, sekarang sampai pinggang”. Hujan lebat yang berlarutan selama dua hari sejak kelmarin mengakibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat pukul 5 petang semalam, seramai 3,086 penduduk di daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang dipindahkan ke PPS.

"Paling tinggi dulu paras buku lali, sekarang sampai pinggang"

KAWASAN perumahan yang ditenggelami banjir di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22, Shah Alam semalam.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, sistem perparitan dan pengairan tidak mampu menampung jumlah hujan berterusan ketika ini.

“Dijangkakan tambahan hujan pada Disember ialah 215 mili­meter (mm), namun telah mele­bihi paras dalam tempoh enam jam. Setakat pukul 11 pagi hari ini (semalam), kita sudah pun merekodkan taburan hujan 1,100mm,” ujarnya.

PENUNGGANG menolak motosikal mereka mengharungi air banjir di Batu 3, Lebuh Raya Persekutuan di Shah Alam semalam.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, angka tertinggi mangsa banjir direkodkan di Klang dengan 2,604 mang­sa di 17 buah PPS.

“Manakala, bagi Kuala Langat dan Sepang adalah seramai 482 individu yang ditempatkan di sembilan PPS,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan dijangka akan melanda Selangor sehingga hari ini selain Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata, PPS yang dibuka di negeri itu ialah PPS Masjid Al-Islah/Masjid Al-Ubudiyah; Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong; SK Johan Setia; Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sg Pinang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah; SRA Pulau Indah; Balai MPKK Perigi Nanas; Balai MPKK Bukit Naga, SK ­Su­ngai Bijai dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa, Klang.

Turut dibuka ialah PPS SK Jalan Kebun; Balai Raya MPKK Kampung Lombong; SRA Sg Serdang; Dewan Orang Ramai Tok Muda; SRA Pekan Kapar; SRA Sungai Delek dan Dewan MPKK Sungai Delek.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Nelayan Telok Gong, Klang, Norhidayah Ishak, 33, berkata, kampung tersebut mengalami banjir terburuk dalam tempoh 33 tahun.

“Sebelum ini, kampung ini hanya dinaiki air banjir pada paras buku lali, namun kini telah mencecah hingga pinggang atau lebih 0.5 meter.

“Semalam (kelmarin) hujan lebat dalam pukul 6 pagi dan mula reda kira-kira pukul 2.40 petang. Mulai 3 petang, hujan lebat berterusan sehingga kini,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Nelayan Telok Gong semalam.

Menurutnya, dia dan suami, Mohamed Farhan Shah Khai­ruddin, 32, tidak sempat menyelamatkan barangan berharga mereka kerana air naik begitu cepat mulai 6 petang kelmarin.

NORHIDAYAH (kanan) bersama ahli keluarganya tidak sempat menyelamatkan barangan kerana air naik dengan cepat di Kampung Nelayan Telok Gong, Klang semalam.

Seorang penduduk bersama dua anaknya di hadapan rumah mereka di Taman Delek Kiri, Klang yang digenangi banjir.

Katanya, dia kemudiannya memindahkan dua anaknya Aisy Mikhail Mohamed Farhan Shah, 6, dan Arisya Mikayla Mohamed Farhan Shah, 5, ke rumah neneknya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Seramai 16 ahli keluarga yang tinggal berdekatan turut berlin­dung di rumah neneknya kerana kediamannya dua tingkat,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Delek Kiri, Klang, Abdul Basir Abdul Hadi, 55, berkata, ini adalah kejadian kali kelima kampung tersebut dilanda banjir dengan kali ini adalah insiden terburuk sehingga mencecah hampir satu meter pada malam kelmarin.

Katanya, pembangunan pe­sat dan tidak seiring dengan pe­ningkatan kemudahan infrastruktur terutama longkang dan parit memudahkan kawasan ini ditenggelami banjir.

“Kami sudah penat dan serik, bukan sekali tetapi lima kali banjir di kampung ini yang mempu­nyai kira-kira 10,000 penduduk.

“Malam tadi (kelmarin) saya terpaksa memindahkan kam­bing, ayam dan itik ke lokasi le­bih tinggi,” katanya.

Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dalam kenyataan berkata, operasi Pelabuhan Utara, Barat dan Selatan turut terjejas berikutan hujan lebat dan banjir kilat.

Setakat pukul 6 petang semalam, sebanyak 9,008 penduduk di Selangor, Kelantan, Pahang, Ne­geri Sembilan dan Terengganu dipindahkan ke PPS.

BACA JUGA : Ini puncanya mengapa Malaysia hujan lebat hingga banjir, rupanya baru permulaan
[VIDEO] 9 beranak maut dalam nahas babit 3 kereta, sebuah treler

Artikel ini disiarkan pada 19/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)