Palestin : Kenapa penyelesaian 2 negara adalah Mustahil

Palestin : Kenapa penyelesaian 2 negara adalah Mustahil

Penyelesaian 2 negara, atauTwo State Solution (TSS) di tanah Palestine telah dicadangkan sejak 1947 menjelang tamatnya Mandat British ke atas bumi Palestine (1918-1947). Sebelumya pada tahun 1917, Deklarasi Balfour telah merintis jalan kepada ‘ke arah pembentukan sebuah negara bangsa Yahudi’. Pada tahun 1922, AS melalui Kongres menyokong ke arah pembentukan negara bangsa Yahudi tersebut.

Solusi dua negara mula diperkenalkan oleh PBB pada November 1947 melalui pembahagian 54% Palestine kepada pendatang Yahudi yang membentuk 31.7% penduduk dan secara resminya memiliki hanya 6.5% dari pemilikan tanah. Penduduk asal Palestine menolak sekerasnya cadangan ini sehingga membawa kepada perang Palestine dan militan Zionist.

Keganasan Zionist terserlah melalui militan Irgun dan Stern yang menjelang 1948-1949 telah menguasai secara ganas 77% bumi Palestine dan membunuh 13,000 orang awam, merosakkan 400 kampung Palestine dan mengusir hampir 700 ribu keluar dari kampung halaman mereka.

Pembentukan ‘negara Israel’ pada 14 May 1948 adalah di atas pembunuhan, penghapusan etnik dan keganasan. Semua resolusi PBB dalam melaksanakan solusi 2 negara (TSS) sebenarnya hanyalah alasan untuk Israel menggananas ,membunuh dan mengusir penduduk Palestine melalui dasar apartheidnya. Jelaslah ia sebuah negara haram!

Penjajahan sepenuhnya Israel ke atas 23% baki bumi Palestine berlaku pasca perang 1967. Tebing Barat yang merupakan kawasan Palestine yang dijajah menyaksikan 800 ribu pendatang ditempatkan (pada statistik 2017) menguasai 42% luas kawasan termasuk Timur Jeruselem. Penduduk Yahudi menguasai kawasan subur dan kemudahan infra di mana penduduk Palestine dinafikan keperluan mereka. Indikator TSS dari dasar Israel ini tidak menjaminkan masadepan yang cerah untuk rakyat Palestine.

Apakah pulangan yang diperolehi Palestine sejak TSS diketengahkan? Sejak Israel diasaskan pada tahun 1948 berbagai dasar diperkenalkan untuk menghapuskan identiti Arab-Palestine antaranya memusnahkan ladang-ladang milik Palestin yang ditinggalkan oleh pelarian, merampas tanah atas nama hak sejarah Yahudi, membesarkan penempatan Yahudi, mengistyhar zon tentera di kawasan subur milik Palestine, Kemudahan infra air yang sengaja dicemari di kawasan Palestine serta merosakkan punca pertanian rakyat Palestine di mana sehingga tahun 2001, 70 ribu hektar tanah pertanian subur dirampas dan 282 ribu pokok khususnya pohon zaiton telah dicabut dan dimusnahkan. Itulah harga penyelesaian 2 negara kepada rakyat Palestine!

Regim Israel telah memusnahkan 616 rumah Palestine, 1211 rumah dirosakkan tidak boleh diduduki dan satu kem pelarian di Jenin melibatkan 13 ribu penghuni diranapkan sama sekali sebagai balasan kepada Intifada menentang kezaliman regim Yahudi.Tanah Waqaf di Palestine turut menjadi mangsa dirampas oleh regim Israel, Masjid tidak terkecuali turut dirampas untuk pembangunan termasuk membina pusat-pusat maksiat didalamnya. Hampir 100 masjid kecil dan besar diceroboh dan diganggu sehingga ia terpaksa ditinggalkan kerana gangguan militan zionist. Kemuncak kekecewaan kepada TSS ialah pencerobohan berterusan Masjid al Aqsa yang dibawah wilayah Palestine dijajah.

Fakta di atas menunjukkan penyelesaian 2 negara semakin mereput dengan pengkhianatan Israel, masihkah kita meyakini kaedah penyelesaian 2 negara di Palestine? Sikap kita terhadap Palestine perlu berubah kepada pencapaian yang lebih adil dan saksama. Kita perlu mendesak Israel untuk menghormati perjanjian terlebih dahulu dan berhenti dari dasar pengusiran rakyat Palestine dan berhenti dari penempatan haram baru dan mencerobohi Masjid al Aqsa.

Israel perlu didesak untuk berhenti daripada mengepung Gaza dan Tebing Barat dengan menafikan hak asasi untuk keperluan asas dari air, makanan dan hak kanak-kanak. Suara Malaysia mesti lebih tegas, bukan sekadar mengulangi TSS tanpa mengutuk dasar apartheid dan kekejaman Israel.

Kalau begitulah realiti TSS, apakah pilihan yang ada kepada rakyat Palestine? Melihat kepada perjanjian demi perjanjian yang lebih merugikan Palestine sejak 1947,1967 ,1991,1994, 1995 kemungkinan meja rundingan perlu keluar dari kerangka berfikir mengiktirafi ‘negara Israel’ sebagai syarat mendapat kebebasan Palestine yang mana ia telah membuktikan hasil yang mengecewakan. Apakah Israel satu entiti negara jika perkara asas pun tidak ada dalam kamusnya? Meja rundingan perlu bercakap tentang Hak Kemanusiaan terlebih dahulu bukan hak mengiktirafi Israel dan penentuan masadepan Palestine bukan di tangan kuasa besar tetapi dari suara rakyat yang dijajah.

Hanya dengan perjuangan berterusan hak Palestine yang dirampas dan tekanan dunia berterusan supaya Israel menghapuskan dasar apartheid dan menyerahkan wilayah Palestine yang dijajah (OPT) akan membuka kerangka baru rundingan. Sehingga cita-cita di atas boleh tercapai rakyat Palestine akan terus bangkit menuntut kebebasan mereka dan masyarakat dunia perlu bersolidariti untuk menamatkan regim apartheid Israel!

Rujukan:
I. History of Palestine: A Methodical Study of Palestinian Struggle, Dr Mohsen Mohammed Saleh, 2005

II. Palestine-Israel Journal of Politics, Economics and Culture: A future of the TSS and the Alternatives, View from Gaza

YB DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar