Pakej rangsangan yang gagal untuk Perusahaan Kecil & Sederhana, tegur akauntan

Pakej rangsangan yang gagal untuk Perusahaan Kecil & Sederhana, tegur akauntan

Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Pakej PRIHATIN sebagai pelan rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat dalam menghadapi COVID19. Pakej yang menyasarkan untuk menyuntik sehingga RM250 billion ke dalam ekonomi itu bakal menyaksikan hanya RM25 billion ditanggung kerajaan secara lansung (kira-kira hanya 10% daripada peruntukan Belanjawan 2020).

Pakej PRIHATIN tersebut ternyata popular di kalangan rakyat dan sangat diperlukan untuk membantu mereka yang kehilangan pendapatan seperti pekerja-pekerja yang dipotong gaji, diberikan cuti tanpa gaji atau diberhentikan kerja serta peniaga-peniaga mikro dan pengusaha bebas dalam ekonomi gig yang terpaksa menutup operasi.

Cabaran yang dihadapi mereka dan bantuan-bantuan yang disediakan cuba dirumuskan dalam lajur pertama gambarajah di bawah. Ringkasnya, kumpulan ini akan dapat memperolehi suntikan tunai antara RM500 sehingga RM2,700 selain pelbagai bentuk penjimatan dan penangguhan bayaran.

Walaubagaimanapun, pakej rangsangan tersebut gagal menyediakan bantuan mencukupi untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang bergelut menanggung kos overhed tanpa dibenarkan beroperasi. Kegagalan membantu PKS ini akan menyebabkan 4 juta pekerja berdepan risiko kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat.

Seperti yang digambarkan dalam lajur ketiga di bawah, perusahaan PKS kini berdepan krisis aliran tunai akibat penutupan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebanyakan PKS yang beroperasi kurang daripada 5 tahun masih tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, tidak membayar cukai yang tinggi dan belum layak mendapatkan pinjaman bank. Jadi, bantuan berbentuk penangguhan ansuran pinjaman bank, ansuran cukai dan caruman HRDF tidak banyak membantu tekanan aliran tunai mereka.

Memandangkan PKS selalunya masih bergantung kepada tenaga kerja manual, sebahagian besar daripada kos overhed mereka adalah bayaran sewa premis dan bayaran gaji pekerja. Majikan-majikan PKS kini benar-benar tersepit antara memikirkan kebajikan pekerja dan kelangsungan masa depan syarikat. Larangan memberikan cuti tanpa gaji sepanjang tempoh PKP bakal memaksa majikan untuk membuang pekerja dan menutup terus operasi syarikat.

Bantuan subsidi gaji RM600 sebulan itu tidak akan membantu jika PKS masih lagi terpaksa membayar gaji penuh kepada pekerja. Jika kita andaikan sebuah PKS yang mempunyai 10 pekerja bergaji minimum RM1,200, syarikat masih perlu menanggung baki gaji RM600 dan caruman statutori RM160 setiap orang menjadikan jumlah keseluruhan RM7,600. Jumlah ini jika dicampur dengan kos sewa dan kos-kos tetap lain pastinya menjadi bebanan besar untuk PKS.

Arahan supaya semua majikan mengekalkan pembayaran gaji penuh (rujuk FAQ Kementerian Sumber Manusia Bil. 1) walaupun pelbagai bantuan telah ditawarkan kerajaan kepada isirumah menyebabkan berlaku keadaan seperti ditunjukkan dalam lajur kedua gambarajah di bawah.

Pekerja-pekerja yang masih menerima bayaran gaji seperti biasa, bakal menikmati lebihan aliran tunai hasil daripada penangguhan pelbagai komitmen dan bayaran BPN. Sebagai contoh, Cik Rokiah, seorang gadis yang berkerja sebagai Eksekutif Jualan bergaji RM3,000 sebulan biasanya mempunyai lebihan tunai RM1,600 untuk berbelanja setelah ditolak caruman KWSP 11% dan ansuran bank RM1,068 (purata DSR 40%). Namun, pada bulan April 2020, Cik Rokiah akan mempunyai lebihan tunai sekurang-kurangnya RM3,040 (caruman KWSP 7%, penangguhan ansuran bank dan BPN RM250), peningkatan sebanyak RM1,440 tanpa perlu melakukan apa-apa kerja sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Encik Abu, majikan Cik Rokiah sedang buntu memikirkan simpanan tunai yang tak mencukupi untuk menanggung kos gaji 5 orang pekerja sebanyak RM13,950 (RM3,000 dan KWSP 13% seorang tolak subsidi upah RM600), kos sewa RM5,000, dan kos utiliti RM1,000 tanpa ada sebarang hasil jualan yang diperolehi. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menutup syarikat menyebabkan kelima-lima pekerjanya kini kehilangan pendapatan.

Situasi ini tentunnya dapat dielakkan dengan membenarkan majikan PKS yang terpaksa menutup operasi untuk mengisytiharkan cuti tanpa gaji kepada semua pekerja sepanjang tempoh PKP. Bantuan cuti tanpa gaji daripada PERKESO kepada pekerja-pekerja yang terlibat boleh dinaikkan daripada RM600 kepada RM1,200 dengan mengambil peruntukan Program Subsidi Upah. Di bawah insentif baru ini, Cik Rokiah akan memperolehi wang tunai bersih sebanyak RM1,450, hanya kurang RM150 berbanding sebelum tempoh PKP. Sekiranya perlu, Cik Rokiah boleh mengeluarkan RM500 sebulan daripada simpanan KWSP beliau. Manakala, Encik Abu akan dapat menyimpan bekalan tunai yang mencukupi untuk memastikan syarikatnya dapat terus beroperasi dan membayar gaji Cik Rokiah seperti biasa setelah tempoh PKP berakhir.

Bukankah kita dapat berlaku lebih adil dan mengelakkan kontroversi sia-sia kononnya pertembungan kelas B40 dan T20. Ingatlah, kebanyakan usahawan PKS masih tergolong dalam kumpulan M40 dan sama-sama terdesak dalam keadaan krisis sekarang. Bantulah majikan untuk membantu menjamin peluang pekerjaan kepada kelas pekerja.

Sheikh Khuzaifah
Akauntan, Aktivis PKS dan Usahawan M40