Pakej rangsangan Kelantan tersasar dari sasaran sebenar

Pakej rangsangan Kelantan tersasar dari sasaran sebenar

Pada pandangan saya dan tak semestinya pandangan saya ni betul. Ia boleh di terima dan ditolak. Tiada masalah…

Rakyat Kelantan mengadu dalam FB, group whatsapp dan media sosial lain kerana mereka susah dan perlukan kepada bantuan kesan dari PKP Covid-19. Orang-orang kampung kebanyakan kerja kampung yg asalnya memang susah sebelum Covid-19 lagi. Mereka kerja sebagai tukang rumah, menoreh getah, tanam sayur, tanam padi, berkebun, pelihara 2-3 ekor lembu, pelihara itik, jual etok salai, menjaja di pasar, jual goreng pisang, jual nasi berlauk, jual kuih muih, kerja gaji hari sprti pemandu, angkat barang, pembantu kedai, petani, nelayan dll. Bila datang Covid-19 kehidupan mereka semakin tersepit. Apabila kerajaan umumkan ada bantuan mereka menunggu dengan penuh harapan. Bila tiada mereka kecewa. Bantuan tidak sampai mungkin kerana jumlahnya sedikit atau Tok Penghulu agih kepada keluarga dan kroninya sahaja atau bantuan bertindih dapat kepada orang yang sama atau tercicir nama. Cuma bagi saya sebab utama bantuan tidak sampai kerana jumlahnya sedikit dan sudah tentu bantuan diagih kepada orang tertentu dan terdekat sahaja.

Peruntukan yg diberikan oleh Kerajaan Islam Kelantan bagi bantuan asnaf fakir miskin sebanyak RM675,000. Jumlah bantuan telah dihadkan seramai 50 orang setiap DUN sebanyak RM200 bagi setiap asnaf. Sementara itu peruntukan sebanyak RM900,000 untuk golongan yg tidak berkemampuan diagih sebanyak RM20,000 bagi setiap DUN. Untuk kita tahu berapa jumlah rakyat dapat dan berapa yang terlibat, saya ambil contoh DUN saya mengundi iaitu Melor dan kampung saya iaitu Kg Aril.

DUN Melor mempunyai 19 mukim/kampung iaitu Seterpa, Badak Mati, Buloh Poh, Lancang, Aril, Bechah Mulong, Bechah Keranji, Kubang Gatal, Melor, Padang Halban, Padang Raja, Padang Kala, Pangkal Pisang, Permatang Pusu, Tegayong, Bukit Marak, Batu 10 1/2 Jln Masjid Padang Kala, Kg Bechah Keranji dan 188 Kg Peringat. Sebuah kampung itu biasanya yang sederhana jumlah rumah ada dlm 250 buah rumah.

Bagi peruntukan bantuan asnaf fakir miskin sebanyak RM675,00. Seramai 50 orang setiap DUN akan mendapat bantuan sebanyak RM200 bagi setiap orang/isi rumah. DUN Melor ada 19 kampung/mukim. Jika dibahagi 50 orang setiap DUN kepada jumlah kampung 19 buah, bermakna setiap kampung hanya akan dapat 2-3 orang/isi rumah sahaja untuk menerima bantuan asnaf ini. 2-3 orang asnaf setiap kampung mendapat bantuan sebanyak RM200 setiap orang sangat sedikit dan menyedihkan. Bagaimana dengan asnaf yang lain yang tidak dapat ? Jika ada 80 asnaf dikampung tersebut sudah pasti 77 orang lagi akan bertanya dimana bantuan untuk mereka? Apatahlagi kalau Ketua Kampung memilih dan mendahulukan sanak saudara dan kroni dalam membuat agihan sudah pasti lagilah menambah kemarahan mereka. Asyik puak dia sahaja dapat.

Peruntukan Kerajaan Islam Kelantan untuk golongan yang tidak berkemampuan sebanyak RM900,000. Setiap DUN diperuntukkan sebanyak RM20,000. Bagi DUN Melor jumlah RM20,000 itu perlu dibahagikan kepada 19 buah mukim/kampung. Ini bermakna setiap kampung hanya dapat duit peruntukan sebanyak RM1,053 lebih kurang. Dengan jumlah RM1,053 akan dibahagi kepada rakyat setiap kampung di DUN Melor dari duit peruntukan kerajaan negeri Kelantan.

Dengan jumlah RM1,053 tu berapa ringgit nak agih kepada rakyat bagi setiap kampung? Inilah yg kita akan rasa sayu. Jika nak agihkan RM50 seorang atau isi rumah golongan yang tidak berkemampuan, hanya 21 orang atau isi rumah sahaja dapat bantuan bagi sebuah kampung. Jika nak bagi RM100 seorang atau isi rumah, hanya 10 orang atau isi rumah sahaja dapat bantuan bagi sebuah kampung. Jika sebuah mukim/kampung ada 250 buah rumah, berapa baki rumah yang tak dapat bantuan ? Kiralah sendiri. Dari jumlah itu kita anggarkan 100 buah rumah yang kurang kemampuan dan terjejas dgn Covid-19 ini. Maknanya dalam 80-90 orang/isi rumah tidak dapat bantuan dari kerajaan negeri. Jadi jangan pelik jika rakyat Kelantan luahkan rasa di FB dan media sosial kerana kebajikan mereka tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan. Mereka terpaksa minta sedekah dengan NGO bahkan bantuan dari NGO lebih banyak dari kerajaan negeri. Mereka rasa NGO & individu lebih membela mereka berbanding kerajaan negeri.

Sebenarnya peruntukan untuk asnaf fakir miskin sebanyak RM675,000 kalau rakyat nak ungkit ia sama harga dengan sebuah kereta mercedes Menteri Besar Kelantan. Jumlah bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan pula sebanyak RM900,000, ia sama harga dengan dua buah mercedes exco kerajaan negeri Kelantan. Itu harga Mercedes sebelum diskaun sebab ada yg mendakwa kerajaan Kelantan mendapat diskaun hampir 50%. Jadi harganya lebih murah dalam RM200,000 – RM350,000 sebuah. Apa-apapun kerajaan telah guna duit rakyat sebanyak RM3.5 juta untuk pembelian 14 buah mercedes sebagai kereta rasmi exco berbanding hanya RM1.57 juta untuk bantuan rakyat fakir miskin dan golongan tidak berkemampuan di atas.

Kemudian kerajaan negeri pada 8 April ada mengumumkan bantuan ‘one off’ kepada rakyat Kelantan iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Kelantan sebanyak RM29 Juta. Siapakah yg dapat bantuan ini? Yg dapat ialah mereka yg bergaji tetap iaitu penjawat awam sebanyak RM500, lantikan politik sebanyak RM250 dan petugas barisan hadapan di bawah kerajaan negeri sebanyak RM300. Petugas barisan hadapan kerajaan negeri termasuklah penguatkuasa Majlis Daerah, Penghulu, penggawa, buruh di Pejabat Tanah dan Jajahan. Maknanya peruntukan ini tidak sampai kepada fakir miskin, mereka yang bekerja sendiri, penjaja, peniaga-peniaga tepi jalan dan mereka yg hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Cuma ada dimaklumkan Peruntukan Khas sebanyak RM20,000 sebagai Bantuan Rakyat akan disalurkan kepada semua Pusat Khidmat DUN (PKD). Jika nak tahu berapa ramai yang akan dapat dari bantuan tersebut boleh baca balik point no 5. Cuma kali ini golongan asnaf point no 4 juga akan berebut untuk dapatkan bantuan dari jumlah yg sama.

Akhirnya sebagai penamat, apabila ingat balik keborosan dan kemewahan kerajaan negeri melancong, membeli 14 buah mercedes untuk kegunaan exco, bonus atau pemberian khas RM50,000 kepada wakil rakyat dalam keadaan ekonomi kerajaan negeri yang defisit, saya sebagai rakyat Kelantan rasa sayu hati. Terkenang penduduk kampung saya Aril yg memerlukan bantuan dari kerajaan disaat Covid-19 melanda. Kerajaan kelihatan berkira untuk beri kepada rakyat tetapi untuk pemimpin diguna sewenang-wenangnya. Kerajaan yang mendakwa membangun bersama Islam tidak ada ruh Islam dlm berjimat dan mengguna duit rakyat.

Saya selaku rakyat Kelantan memohon bantuan ‘one-off’ berjumlah RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan semasa PH memerintah yang diberi pada 25 Dis 2020 dan duit royalti atau wang ehsan yang telah masuk ke akaun Kerajaan Negeri sebanyak RM15.7 juta hendaklah diguna sewajarnya untuk kebajikan rakyat. Ingatlah walau satu sen duit rakyat dan sebatang balak milik rakyat disalahguna pasti akan dipersoal didepan Allah ta’ala di akhirat nanti. Renungilah kata-kata Khalifah Umar radhiallahuanhu ini:-

لو ماتت شاة على شط الفرات ضائعة لظننت أن الله تعالى سائلي عنها يوم القيامة
(Jika seekor kambing biri-biri mati tersesat jalan di tebing Sungai Furat, aku bimbang Allah akan bertanya aku pada hari kiamat mengenainya).

Terima kasih kepada semua individu, NGO, syarikat, MAIK dan semua termasuk kerajaan negeri yg telah membantu rakyat Kelantan…

Nadzmi Nadzir