Pakej Permai : Pekerja tempatan terpinggir, terbeban dan berisiko

Subsidi Saringan Covid-19 melalui program Saringan Prihatin PERKESO bernilai RM150 telah ditutup pada 30 November 2020. Mana-mana saringan selepas tarikh tersebut tidak boleh dituntut oleh majikan melibatkan pekerja tempatan termasuk barisan hadapan di hospital swasta.

Lebih malang kepada pekerja tempatan yang terdedah kepada risiko jangkitan di tempat kerja dan memerlukan keputusan ujian saringan awal kerana keperluan bekerja, terpaksa menanggung sendiri kos saringan apabila terdapat individu positif ditempat kerja atau merupakan kontak rapat. Kos yang perlu ditanggung adalah sekitar RM250 sehingga RM350 (PCR) bagi setiap saringan dan keperluan untuk ujian saringan ulangan juga sehingga 2 atau 3 kali di hospital atau klinik swasta.

Terdapat keperluan mana-mana premis tempat kerja yang memerlukan pengesahan bebas COVID-19 bagi mana-mana pekerja yang datang dari zon merah. Majikan dalam sektor ekonomi perlu terpaksa menanggung kos ujian saringan kepada pekerja mereka bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan.

Pengumuman Perdana Menteri berkenaan pakej PERMAI hanya memberikan subsidi saringan “RAPID TEST KIT” kepada pekerja asing, dan bagi pekerja tempatan hanya diberikan pengecualian cukai pendapatan. Pekerja tempatan rendah yang tiada cukai pendapatan pastinya terbeban dan terpinggir dalam pakej yang diumumkan. Sangat jelas pekerja tempatan berpendapatan rendah terpinggir dalam pakej yang diumumkan.

Jalan keluar dari masalah ini antaranya adalah dengan memberikan subsidi melakukan ujian saringan besar-besaran bagi mengekang risiko pendedahan tempat kerja dari jangkitan COVID-19 kepada pekerja tempatan. Keperluan sektor ekonomi untuk terus beroperasi dalam menjamin ekonomi, pendapatan pekerja perlu mengutamakan kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja. Jika perkara ini tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, pekerja tempatan terus terbeban dan risiko kesihatan dalam bahaya. – FB

Ridhuan Esa
19 Januari 2020
Ketua Pemuda AMANAH Tenggara

COMMENTS

Wordpress (0)