Pakej bantuan diumum PM terlalu kecil, komen pakar ekonomi

Pakej bantuan diumum PM terlalu kecil, komen pakar ekonomi

Pakar ekonomi berpandangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan bernilai RM40 bilion yang diumum kerajaan semalam terlalu kecil untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pengumuman PKP pada tahun ini dijangka menelan belanja RM57.9 bilion, memetik anggaran kos harian Putrajaya.

Katanya, PKP penuh ini dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya RM33.6 bilion untuk tempoh dua minggu, diikuti dengan RM15.5 bilion untuk empat minggu di bawah Fasa 2.

Beliau memberitahu FMT, dengan hanya suntikan fiskal langsung bernilai RM5 bilion, terlalu banyak geran dan kredit “kecil dan tidak bermakna” jangka pendek dan tidak signifikan, seperti RM100 untuk bujang dan pinjaman kredit mikro.

Katanya, pinjaman masih perlu dibayar semula, sambil menambah sepatutnya lebih banyak wang dibelanjakan untuk program subsidi upah, yang hanya akan dilanjutkan selama sebulan di bawah pakej berkenaan.

“Subsidi upah harus dibuat selama jangkaan tempoh ‘lockdown’ dan pemulihan, lebih lama dari sebulan. Ini akan menyokong pendapatan boleh guna dan perbelanjaan pengguna selain membantu permintaan, seperti yang diperlukan syarikat,” kata beliau.

“Ini boleh dihentikan sebaik ekonomi pulih lewat tahun ini, bukan secara tiba-tiba,” katanya.

Williams berkata, beliau lebih suka sekiranya isi rumah B40 dan M40 diberi bantuan wang sehingga RM1,500 sebulan hingga Disember, tempoh di mana imuniti kelompok dapat dicapai pada waktu itu.

Beliau berkata, ini akan menelan belanja Putrajaya sekitar RM60 bilion, tetapi akan menguntungkan 2.9 juta isi rumah di setiap kategori.

Sambil mengakui perlunya memiliki dana yang ditujukan untuk infrastruktur kesihatan awam memandangkan pandemik yang semakin memburuk, beliau berkata hanya ada sedikit yang diperuntukkan di tempat lain.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, pakej bantuan ini masuk akal, sambil memberi contoh bantuan kepada pemandu teksi dan bas, penambahan Bantuan Prihatin Rakyat yang dilihat sebagai satu langkah baik daripada Putrajaya.

Tetapi beliau juga merasakan pakej bantuan itu terlalu kecil, dengan berkata ia memerlukan suntikan fiskal lebih dari RM5 bilion untuk membantu anggaran 8.5 juta isi rumah di negara ini.

Jelas beliau, peningkatan bantuan untuk isi rumah sudah cukup, kecuali jika tempohnya dilanjutkan melebihi dua minggu.

“Tetapi selepas ini, ketika masuk ke fasa dua dan tiga mereka harus mengumumkan lebih banyak pakej, terutama jika tempoh PKP dilanjutkan,” katanya.

Presiden Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan telah mendengar keperluan peniaga kecil dan B40.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional kerana telah membantu peniaga yang terjejas oleh keadaan sekarang,” katanya.

Namun, beliau berharap agar moratorium kepada kumpulan PKS bersifat automatik dan bukannya bersyarat dan akan dilanjutkan hingga akhir tahun ini.

“Ini harus terbuka dan bukan hanya yang berminat untuk ikut serta. Kami juga meminta agar moratorium dilakukan berdasarkan dana pembiayaan, di mana bank melepaskan keuntungan mereka dari pinjaman selama tiga bulan ini,” kata beliau.

Ameer juga berkata syarikat sederhana, bahkan lebih besar yang terjejas perlu dimasukkan dalam senarai moratorium pinjaman.

“Rakyat menghargai menteri dan timbalan menteri telah mengambil potongan gaji selama tiga bulan. Saya berharap eksekutif tertinggi GLC dan bank yang memperoleh keuntungan berbilion-bilion juga akan mengambil potongan gaji dan menyumbang ke arah dana Covid-19,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap kerajaan dapat meningkatkan potongan bil utiliti dari 10% menjadi 50%.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/01/rm40-bilion-pakej-bantuan-terlalu-kecil-kata-pakar-ekonomi/