Padah menyamar sebagai peguam Istana Johor, lelaki 51 tahun didakwa

Padah menyamar sebagai peguam Istana Johor, lelaki 51 tahun didakwa

Seorang pengamal undang-undang yang menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor ditahan pagi tadi di Kampung Dato’ Onn, Larkin.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lelaki berusia 51 tahun itu ditahan 9.40 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor susulan laporan polis pada 31 Mac berkaitan kes penipuan.

“Peguam ini menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor dan suspek memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan penyamaran tersebut menyebabkan sejumlah RM185,062 wang dibayar kepada suspek,” katanya pada sidang media.

Ayob berkata, wang yang dibayar itu adalah bagi pembayaran caj pemasangan papan iklan di kawasan konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Semakan rekod juga mendapati suspek pernah disabitkan antara 12 hingga 17 lagi kesalahan lain iaitu pecah amanah, pengubahan wang haram dan kesalahan bawah Akta Syarikat.

“Esok, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ayob berkata dua ahli perniagaan yang mengaku sebagai Kerabat Diraja Johor ditahan kerana melakukan penipuan dengan menawarkan projek pembersihan tanah tidak wujud di Mukim Sekakap, Mersing, membabitkan kerugian RM2.45 juta pada 9 Jan lalu.

“Kedua-dua suspek sudah dituduh bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/22/pengamal-undang-undang-menyamar-peguam-istana-johor-ditahan/