Padah buat ‘surprise’ hari lahir rakan, 6 remaja dikompaun

Padah buat ‘surprise’ hari lahir rakan, 6 remaja dikompaun

Tindakan enam remaja merentas negeri tanpa kebenaran bagi menyambut hari lahir rakan mereka terbongkar selepas sambutan itu ‘dikunjungi’ sepasukan polis dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Baiduri, Pulau Sebang, semalam.

Kesemua mereka dikesan melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, enam remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun dikesan merentas negeri dari Gemas, Negeri Sembilan ke Pulau Sebang tanpa sebarang dokumen perjalanan semata-mata ingin berhibur.

Beliau berkata, tindakan mereka itu dikesan oleh Pasukan Pematuhan selepas mendapati terdapat sekumpulan remaja iaitu dua lelaki dan lima perempuan berkumpul di hadapan sebuah rumah.

“Siasatan dijalankan kemudian mendapati mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain enam daripadanya melakukan pergerakan rentas negeri tanpa dokumen sokongan.

“Difahamkan mereka ke situ untuk memberi kejutan hari lahir rakan. Mereka dibawa ke Balai Polis Pulau Sebang untuk siasatan lanjut sebelum dikompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga penganjur ditahan dan kompaun ke atasnya boleh dikenakan sehingga RM4,000.

“Selain itu, bapa yang juga pemilik rumah rumah kepada remaja itu akan dipanggil untuk diambil keterangan sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya.

Katanya, tindakan semua suspek amat berbahaya memandangkan ada diantara mereka yang datang dari daerah dan negeri yang mencatatkan statistik kes Covid-19 yang tinggi.

“Kesemua mereka dikenakan tindakan dibawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah- Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 manakala penganjur pula akan diambil tindakan dibawah Peraturan 11 (PPPPB) 2001,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/729305/6-remaja-dikompaun-selepas-buat-kejutan-hari-lahir-rakan

BACA JUGA : Gempar !!! Menteri Bersatu dedah gerakan angkat Ismail Sabri jadi PM