Padah bawa balik sate tidak bertuan, anak penghantar makanan mati makan sate beracun

Padah bawa balik sate tidak bertuan, anak penghantar makanan mati makan sate beracun

Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun meninggal dunia setelah termakan sate beracun yang dibawa pulang ayahnya.

Dalam kejadian di Bantul, Yogyakarta, Indonesia, kanak-kanak itu dilapor telah menuang kuah dipercayai bercampur potasium sianida pada sate sebelum memakannya ketika berbuka puasa bersama keluarga.

Mangsa muntah lalu pengsan dan dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, lapor portal Tribunnews.

Bapa mangsa, Bandiman yang ditemui wartawan kesal dengan apa yang berlaku kepada anaknya, malah menyalahkan dirinya kerana membawa pulang sate tersebut.

“Saya menyesal dengan apa yang berlaku. Anak saya mati kerana saya bawa sate itu pulang ke rumah. Niat saya cuma ingin hantar makanan itu.

“Jika saya tahu sate itu dicampur racun, semua ini tidak akan berlaku,” katanya.

Bandiman yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata dia mendapat pesanan daripada seorang pelanggan wanita yang memintanya menghantar sate berkenaan kepada seorang lelaki.

Menurut Bandiman, ketika kejadian, dia sedang berehat di sekitar masjid daerah Gayam, Yogyakarta.

Seorang wanita kemudian datang memintanya menghantarkan barang kepada seorang rakan.

“Dia beritahu saya tidak ada aplikasi penghantaran, dan minta saya hantar kepada seorang bernama Tomi di Villa Bukit Asri, Sembungan, Kasihan, Bantul,” kata Bandiman.

Wanita itu memaklumkan nama pengirim sebagai “Hamid” dari Pakualaman.

Namun ketika Bandiman tiba di alamat yang dituju, Tomi yang dihubunginya berkata tidak mengenali “Hamid”.

“Setelah saya hubungi, benar yang mengangkat bernama Tomi dan alamatnya juga benar. Tapi dia kata tidak ada rakan bernama Hamid di Pakualaman.

“Lalu Tomi minta bawa pulang saja paket tersebut untuk berbuka puasa,” kata Bandiman.

Menurut Bandiman lagi, isterinya juga sempat makan beberapa cucuk sate berkenaan namun kesannya tidak teruk.

Hasil pemeriksaan makmal mendapati sate tersebut diletak racun jenis potasium sianida.

“Racun tersebut mudah didapati dan sering digunakan untuk membunuh hama serta tikus.

“Jika termakan dalam kuantiti kecil, racun itu akan menyebabkan rasa mual, muntah, sakit kepala, sesak nafas dan keresahan.

“Sekiranya diambil dalam kuantiti banyak, racun itu menyebabkan denyut nadi menjadi lambat dan mangsa akan mula hilang kesedaran sehingga meninggal dunia,” kata pakar foreksik Universiti Gadjah Mada, Dr Lipur Riyantiningtyas.

Polis dalam pada itu masih memburu suspek wanita yang mengirim makanan itu.

Suspek dilapor berkulit cerah, berusia dalam lingkungan 25 tahun dan berketinggian kira-kira 160 sentimeter.
Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-dunia/kanakkanak-8-tahun-maut-termakan-sate-beracun-dibawa-pulang-bapa-296047