‘Orang tengah’ berminat jualkan muntah paus, dakwa pernah jual pada harga RM500 ribu

‘Orang tengah’ berminat jualkan muntah paus, dakwa pernah jual pada harga RM500 ribu.Tiga pihak sudah menyatakan minat membeli ketulan dipercayai muntah ikan paus yang ditemui Aida Zurina Long.

Aida Zurina, 41, berkata, ketiga-tiga individu menghubunginya hari ini dipercayai orang tengah dan hanya ingin mengetahui bagaimana muntah ikan paus itu ditemuinya.

“Salah seorang daripada individu itu bertanya sama ada saya berminat menjual ‘barang’ ini dan dia sudi menjadi orang tengah untuk urusan jual beli.

“Individu itu mendakwa sebelum ini dia pernah menjual muntah ikan paus terbabit kepada seorang artis dengan jumlah bayaran sebanyak RM500,000,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan menunggu ujian makmal untuk mengesahkan ketulenan muntah ikan paus terbabit terlebih dulu.

“Memang saya nak jual, tapi saya nak pastikan ‘barang’ yang saya temui ini benar-benar tulen sebelum saya meletakkan harta sebenarnya.

Orang tengah

“Hari ini, enam kakitangan Jabatan Perikanan Terengganu datang ke rumah menemubual saya termasuk mengambil sedikit muntah paus untuk analisa,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan sampel akan dihantar ke makmal dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya bukan jenis yang berangan-angan hendak jadi jutawan, tapi saya dedahkan penemuan ini untuk cari pihak yang boleh menentukan ketulenannya.

“Kalau sudah ditakdirkan rezeki berpihak kepada saya, saya bersyukur dan anggap ia rezeki yang tidak disangka,” katanya.

Aida Zurina berkata, sekiranya ketulan itu tulen dan berjaya dijual, hasil yang diperoleh itu akan digunakan sebaik mungkin.

“Saya akan memperbesarkan kedai makan saya. Saya nak hantar ibu serta kedua ibu bapa mentua saya mengerjakan haji serta bersedekah kepada mereka yang susah,” katanya.

Menurutnya, dia turut menafikan apabila ada pihak yang menyatakan objek yang ditemui itu diuji Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Pihak itu mungkin salah faham, saya nafikan kerana saya tidak pernah menghantar sampel ke UMT untuk diuji,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Aida Zurina menemui ketulan dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarganya di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Marang November lalu.

BACA: Anggap Tuhan makhluk halus, ini jawapan Mufti Perlis

Artikel ini disiarkan pada 15/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)