Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein mendedahkan kaum Melayu dan bumiputera adalah pencarum yang paling ramai mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 berbanding pencarum berbangsa lain.
Menurut beliau seperti dilapor Utusan, nisbah pencarum Melayu mewakili 74 peratus daripada 5.9 juta pencarum yang baki simpanan kurang RM10,000 manakala pencarum KWSP berbangsa Cina, sebanyak 13 peratus memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dan pencarum India pula sebanyak tujuh peratus.
“Ini menunjukkan simpanan persaraan ahli tidak cukup sekiranya mereka tiada simpanan atau sumber pendapatan lain, majoriti ahli berkenaan tidak mampu membiayai sara hidup pada usia tua.

“Berbanding dengan situasi 20-30 tahun dahulu, profil keluarga pada masa kini juga menunjukkan saiz yang kecil dengan bilangan anak yang tidak ramai. Bagi keluarga yang mempunyai anak yang tidak ramai, beban untuk menjaga ibu bapa mereka pada usia tua akan bertambah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau menjelaskan secara keseluruhan, 46 peratus daripada ahli KWSP, iaitu seramai 5.9 juta pencarum memiliki baki simpanan kurang RM10,000 setakat 30 September lalu.
Bagi membantu pencarum yang terjejas akibat pandemik Covid-19, KWSP telah memperkenalkan program-program pengeluaran wang caruman dan sejumlah RM101.01 bilion telah dikeluarkan, termasuk bagi program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.