Orang Kg Bharu sudah kena main dengan PN, tawaran PH tetap terbaik

Orang Kg Bharu sudah kena main dengan PN, tawaran PH tetap terbaik

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba bermain tarik tali dengan penduduk Kampung Bharu berbeza Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan pembelian tanah pada harga RM1,000 satu kaki persegi.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berpendapat Menteri Wilayah Persekutuan pada masa ini memberi gambaran pembangunan kampung Melayu di tengah ibu negara itu akan gagal.

Walhal, katanya, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mendakwa nilai RM1,000 satu kaki persegi itu terlalu rendah berbanding harga pasaran.

“Bagaimana pun, hari ini setelah Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah, beliau mengakui bahawa tiada sumber dana yang cukup untuk membeli dengan harga setinggi itu.

“Ini sekali gus memberi isyarat bahawa penawaran harga akan berlaku pada kadar lebih rendah dan ini pastinya mengundang berang penduduk dan pemilik kawasan Kampung Bharu,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Asmaaliff berkata, usaha yang telah dilakukan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ternyata sudah berada pada tahap yang maksimum dan cuba memberi jaminan kesenangan kepada Bumiputera.

“Tetapi, segala usaha tersebut tidak berjaya. Malah, beliau (Khalid) digelar sebagai ‘menteri broker tanah’, disebabkan sentimen yang cuba dimainkan pembangkang ketika itu (BN) supaya ketelusan pemerintahan PH ini gagal,” katanya.

Mengulas lanjut tarik tali dimainkan kerajaan PN, beliau menyeru agar rakyat membuka mata dan lebih bijak menilai waktu serta pihak mana yang lebih baik pentadbiran dan pengurusannya.

Dalam hal berkaitan, Timbalan Ketua AMANAH Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berpendapat kerajaan PN hanya membuat helah sekali gus tidak serius untuk membangunkan tanah milik orang Melayu di Kampung Bharu yang berprofil tinggi itu.

Sehubungan itu, peguam tersebut berharap agar isu pembangunan Kampung Bharu tidak lagi dipolitik dan dipolemikkan oleh kerajaan PN sebaliknya ditangani segera sebaik mungkin bagi memastikan hak milik kekal kepada orang Melayu di samping meningkatkan nilai ekonomi dan hartanah Bumiputera.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/kampung-bharu-pn-cuba-main-tali-isyarat-tawar-harga-lebih-rendah/