Nyawa ahli parlimen lebih berharga daripada pelajar sekolah?

Nyawa ahli parlimen lebih berharga daripada pelajar sekolah?

Ketua penerangan Parti Muda, Zaidel Baharuddin mempersoalkan adakah kerajaan menganggap nyawa ahli parlimen lebih bernilai daripada pelajar sekolah.

Dia mengatakan ini kerana kerajaan telah membenarkan sekolah dibuka semula di tengah pandemik Covid-19, sementara sidang parlimen terus digantung.

Zaidel berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berhubung penggantungan sidang parlimen.

Zaidel juga menyorot bahawa ketika ditanya mengenai risiko yang dihadapi oleh murid sekolah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun mengatakan dia percaya bahawa pihak berwajib, termasuk Kementerian Pendidikan, akan melaksanakan SOP yang lebih ketat untuk mencegah penularan wabak di sekolah.

“Maka timbul pula persoalan kedua. Mengapa kerajaan rela mempertaruhkan kesihatan pelajar-pelajar sekolah dan yakin dengan perancangan bagi menguruskan jutaan pelajar tetapi tidak mampu untuk menguruskan perjalanan parlimen yang hanya melibatkan sebilangan kecil ahli parlimen dan pegawai-pegawai mereka?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidel berkata, sebilangan besar anggota parlimen telah divaksinasi dan oleh itu jika dibandingkan dengan sekolah, risiko jangkitan jauh lebih rendah di parlimen.

“Muda bukan meminta untuk semua sekolah ditutup, tetapi nampak seolah-olah kerajaan Perikatan Nasional ini mementingkan kesihatan dan kesejahteraan ahli-ahli parlimen jauh lebih tinggi dari pelajar-pelajar sekolah.

“Penutupan parlimen yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir tanpa sebarang semak dan imbang berpandukan alasan yang diberikan bukan sahaja menidakkan hak demokrasi rakyat tetapi dilihat tidak masuk akal,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Takiyuddin, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen dan hal ehwal undang-undang, mengatakan bahawa kerajaan telah memberi jaminan bahawa Parlimen akan dipanggil untuk bersidang pada masa yang sesuai sebelum atau selepas darurat berakhir pada bulan Ogos.

Namun, katanya, kerajaan akan terlebih dahulu meminta nasihat daripada agensi yang berkaitan, terutama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, mengenai perkara itu.

Takiyuddin juga telah mendakwa bahawa seharusnya tidak ada keraguan tentang penyalahgunaan kuasa semasa darurat kerana menurutnya kerajaan berfungsi seperti biasa.

Dia mengatakan ini merangkumi aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak berwajib, terutama (SPRM), Jabatan Audit Negara dan PAC.

Kenyataan menteri itu dibantah oleh pengerusi PAC Wong Kah Woh, yang mengatakan bahawa jawatankuasa itu telah diarahkan untuk tidak mengadakan prosiding ketika Parlimen digantung.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572231