Jangan bermudah-mudah menuduh orang Islam sebagai kafir kerana akibatnya sangat serius. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda, maksudnya : “Barangsiapa menuduh seseorang dengan perkataan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ padahal orang itu tidak begitu, maka kekafiran akan menimpa orang yang menuduh itu.”
Seseorang masuk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku bahawa tiada Ilah selain Allah dan mengaku bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasul-Allah. Seseorang dikira sebagai Muslim selepas dia mengucap syahadah.
Bukankah Rukun Islam ada 5 perkara? Dan oleh kerana 5 perkara itu menjadi Rukun Agama, maka seseorang wajib melaksanakan kelima-lima Rukun itu baru dikira sebagai Muslim…?
Tidak. Orang yang mengucap dua kalimah syahadah dikira sudah masuk Islam. Ada pun 4 perkara lagi itu menjadi kewajipan ke atasnya selepas dia menjadi orang Islam.
Nabi SAW menerima keislaman seorang selepas orang itu mengucap syahadah, tanpa perlu menunggu masuk waktu solat nak tengok dia solat atau tidak, tanpa menunggu bulan Ramadhan nak tengok dia puasa atau tidak, tanpa menunggu musim haji nak tengok dia buat haji atau tidak, tanpa perlu menghitung hartanya dulu samada patut bayar zakat atau tidak.
Kalau dia meninggalkan 4 perkara Rukun Islam itu, maka dia berdosa besar. Begitu juga kalau dia buat perkara yang dilarang oleh Islam, dia berdosa. Dosa tidak membatalkan syahadah seseorang. Dosa tidak menggugurkan iman seseorang. Dosa tidak menyebabkan seorang Islam menjadi kafir.
Islamnya seseorang pada kita ialah berdasarkan kepada pengakuan lidahnya. Kalau dia mengaku Islam dan mengucap syahadah, maka kita wajib menganggapnya sebagai Muslim. Kalau dia pura-pura, lidahnya mengaku Islam tetapi hatinya kafir, itu bukan urusan kita. Itu urusan Allah. Agama tidak perintahkan kita untuk membelah dada orang lain untuk melihat samada dia benar-benar Muslim atau hanya berpura-pura.
“Bukankah keislaman seseorang boleh terbatal dengan sebab 3 perkara, iaitu samada dengan perkataannya, atau perbuatannya, atau iktikadnya…?”
Ya, betul.
“Jadi, kalau keislamannya sudah terbatal, maknanya dia sudah jadi kafir.”
Kita belajar bab terbatalnya keislaman, untuk apa…? Untuk kita, supaya kita tahu menjaga keislaman kita, agar kita tidak menjadi kafir. Bukan untuk menuduh orang lain kafir.
Orang yang kafir itu ialah orang yang membuka dadanya bagi kekafiran, sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 106, maksudnya : “Barangsiapa yang kafir kepada Allah selepas dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar”.
Apa maksud membuka dadanya bagi kekafiran…?
Maksudnya, seseorang yang secara terang-terang mengucapkan perkataan kekafiran atau melakukan perbuatan kekafiran, dan mengaku dia telah keluar dari Islam.
Seseorang tidak menjadi kafir hanya dengan tuduhan orang.
Dan ayat itu ialah sebagai pelajaran untuk diri kita supaya tidak kafir selepas beriman… Ayat itu bukan peluru untuk menembak orang lain dengan menuduhnya kafir.
Seperkara lagi, musyrik, kafir, dan munafik adalah 3 perkara yang berbeza. Abdullah bin Ubai bin Salul jadi munafik selepas dia masuk Islam. Kalau dia tak pernah masuk Islam seperti Abu-Jahal, dia tak jadi munafik, tetapi dia adalah orang musyrik. Orang yang pernah masuk Islam kemudian secara terang-terang keluar dari Islam, orang itulah yang dikatakan kafir. Contohnya Musailamah al-Kazzab.
Menuduh orang lain sebagai kafir, menyebutnya dengan laknatullah, mengeluarkan fatwa haram sembahyang jenazah ke atas mayatnya, mengatakan dengan yakin orang itu akan masuk neraka; hanya semata-mata kerana perbezaan fahaman dalam politik, itu bukan dari ajaran Islam.
Orang yang mengaku Islam dengan lidahnya, maka kita wajib menanggapinya sebagai seorang Islam. Hukum Islam dan hak-hak sebagai seorang Islam berlaku ke atas dirinya. Dan syurga neraka itu adalah urusan Allah. Tiada siapa boleh bertempik dan mendabik dada mengatakan syurga sudah terjamin untuknya dan neraka itu diciptakan hanya untuk orang yang tak sokong partinya. Itu kerja bodoh… Itu adalah ajaran sesat dan menyesatkan.
Awang Malaya