Apabila NGO umum hentikan aktiviti bantuan, siapa yang rugi?

Apabila NGO umum hentikan aktiviti bantuan, siapa yang rugi?

Kerajaan digesa untuk melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dalam penyaluran bantuan kepada rakyat pada musim bencana koronavirus baharu (Covid-19).

NGO berperanan penting dalam pembangunan dan pembelaan masyarakat memang sudah terbukti sejak sekian lama.

Sewaktu bencana banjir besar di Kelantan pada 2014, peranan NGO begitu menonjol memberikan bantuan kepada rakyat akar umbi sehingga menjadi sebutan dan ingatan hingga ke hari ini.

Pengumuman kerajaan supaya pihak NGO berhenti menghantar sumbangan kepada golongan sasar sebaliknya menyerahkannya kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) amat menggusarkan aktivis NGO.

Ini kerana kita tahu golongan sasar amat memerlukan bantuan segera dan tidak boleh dilewatkan kerana karenah birokrasi.

Hakikatnya, cukupkah kakitangan di JKM dan KPWKM walaupun dimobilisasi kesemuanya untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat di akar umbi?

Selain faktor kurangnya ‘personal touch’ kepada golongan sasar, kita bimbang polisi ini akan mengakibatkan sebahagian anggota masyarakat kebuluran ataupu menderita dahulu sebelum bantuan sampai.

Sebagai reaksi ada NGO yang sudah mengumumkan pemberhentian bantuan mereka kepada masyarakat. Siapa yang rugi? Rakyat marhaen yang kesusahan akhirnya menerima akibat dan kesannya.

Kita mencadangkan agar amalan sebelum ini dikekalkan ataupun ditambah baik iaitu kerajaan memberi sebahagian peruntukan untuk disalur kepada NGO yang terpilih dan berdaftar sebagai badan penyampai yang membantu kerajaan menyantuni rakyat.

Kalau soalnya adalah isu keselamatan dan kawalan pergerakan tentunya ada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang boleh diberikan.

Setakat ini juga kita perhatikan kebanyakan NGO prihatin dengan langkah-langkah penjagaan seperti penggunaan penutup hidung dan mulut serta sarung tangan dan amalan penjarakan sosial yang disarankan.

Sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf NGO sebagai rakan kongsi bukan pesaing dalam kita semua memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

* Penulis ialah Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Negeri Kelantan.