Seramai lebih 50 ahli NGO hari ini menunjukkan solidariti berkumpul dan memegang poster bantahan terhadap pemenjaraan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin di hadapan pintu pagar Penjara Kajang.
Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Amir Abd Hadi berkata, solidariti tersebut untuk mendesak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang didakwa sebagai akta lapuk yang menzalimi dan menyekat hak rakyat Malaysia untuk bersuara.
Katanya, kerajaan tidak menepati janji yang terkandung di dalam buku harapan manifesto Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU-14), apabila masih menggunakan akta tersebut walaupun selepas setahun pentadbirannya.
“Kita tak sangka selepas pertukaran kerajaan, kita masih lagi perlu duduk dihadapan penjara untuk nyatakan solidariti bantahan apatah lagi kes ini ditahan dibawah akta hasutan. Untuk makluman, pada tahun 2014, kita telah wujudkan gerakan Hapus Akta Hasutan yang terdiri dari 130 NGO termasuk ahli politik pembangkang.
“Tapi hari ini, mereka yang berjuang bersama kami yang dahulunya menuntut pemansuhan akta ini masih lagi meneruskannya. Ketika kalian menang, kalian diberi amanah, kalian seharusnya lebih lantang membela aktivis.
“Selama hari ini kita sama sama berjuang dan ditahan untuk menentang akta yang digubal penjajah ini. Hari ini kita nyatakan tuntutan mendesak kerajaan baharu dibawah Malaysia baharu untuk memansuhkan akta sepertimana kita tuntut sebelum ini,” katanya.
NGO lain yang turut hadir, Bersih 2.0, Liga Pemuda, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Engage dan aktivis Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Secara Paksaan (CAGED).
Mereka turut melaungkan slogan Bebas, bebas Wan Ji. Mansuh, Mansuh Akta Hasutan. Mansuh, mansuh warisan penjajah.
Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann menyifatkan akta hasutan 1948 sebagai alat kerajaan untuk membungkam suara rakyat.
Katanya, pihaknya kesal dengan keputusan mahkamah, malah menjatuhkan hukuman lebih lama kepada penceramah bebas itu iaitu satu tahun berbanding sembilan bulan sebelum ini.
“Soalan saya, adakah kita betul-betul capai kemerdekaan, kerana ini satu akta tinggalan penjajah british. Tiap-tiap tahun kita sambut merdeka, tapi sebenarnya kalau kita masih ada akta ini, pada saya kita belum capai kemerdekaan yang sebenar.
“Solidariti kita ini sebagai satu tanda bahawa rakyat tak akan terima penggunaan akta ini untuk hadkan suara. Ini sama sekali tidak selaras dengan demokrasi dalam negara,” ujarnya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, menolak rayuan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, 37, terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.
Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji berkuat kuasa hari ini selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.
Pada 10 September 2014, Wan Ji didakwa menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, pada 10 pagi, 5 November 2012.
Berita Asal https://malaysiadateline.com/solidariti-wan-ji-ngo-desak-kerajaan-mansuh-akta-hasutan/