New Zealand kesan 1 kes baharu Covid-19, terus umum ‘lockdown’

New Zealand melaksanakan sekatan pergerakan serta-merta selama tiga hari selepas mengesan satu kes Covid-19 jangkitan tempatan, disyaki varian Delta, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Ardern berkata, New Zealand yang tidak merekodkan sebarang jangkitan dalam komuniti sejak enam bulan lalu, tidak boleh memandang ringan apabila melibatkan varian Delta.

“Kita telah melihat apa yang berlaku di tempat lain jika gagal menanganinya. Kita hanya mempunyai satu peluang,” katanya dalam perutusan disiarkan secara langsung televisyen kebangsaan.

New Zealand kesan 1 kes baharu Covid-19, terus umum 'lockdown'

Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan keputusan drastik kerajaan itu, hari ini. (Gambar AP)

Pemimpin itu memetik masalah dihadapi Australia untuk mengekang varian yang amat mudah berjangkit itu bagi menyokong tindak balasnya terhadap kes yang dikesan di Auckland melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun.

“Lebih elok kita bermula dengan tindakan tegas dan berhati-hati, kemudian meredakan keadaan sebaik lebih selesa. Ini lebih baik daripada terpaksa menjalani sekatan pergerakan untuk tempoh lebih lama di kemudian hari,” katanya.

“Lihat saja apa yang berlaku di Australia. Di New Zealand, tindakan tegas dari awal telah banyak membantu kita.”

Perancangan awal adalah untuk New Zealand dikenakan sekatan pergerakan selama tiga hari mulai malam ini, manakala Auckland dan Coromandel berhampiran dikenakan sekatan seminggu.

Menurut pegawai kerajaan, antara faktor mempengaruhi tindakan tegas itu adalah disebabkan kes Auckland berkenaan tiada kaitan langsung dengan kawasan sempadan atau individu yang menjalani pengasingan.

New Zealand dipuji kerana tindak balasnya terhadap virus korona dengan hanya 26 kematian dalam populasi seramai 5 juta orang.

Akibatnya, sejak lebih setahun lalu negara itu tidak lagi mengarahkan rakyatnya duduk di rumah manakala kehidupan dapat diteruskan hampir seperti biasa, tanpa had terhadap perhimpunan sosial. Kelonggaran turut dibenarkan bagi penggunaan pelitup muka.

Bagaimanapun, program vaksinasi negara itu kurang berkesan dengan hanya 20% penduduknya telah mendapat dos penuh.

Ardern berkata, New Zealand antara negara terakhir di dunia yang merekodkan varian Delta dalam komuniti, namun menganggap perlu untuk mengandaikan ia telah ‘sampai’ ke negara itu walaupun keputusan makmal untuk mengesahkannya hanya akan diperoleh esok.

“Setiap kes yang dilihat di MIQ (kuarantin sempadan) baru-baru ini melibatkan varian Delta, dan ia juga melonjak di seluruh dunia,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/dunia/2021/08/17/satu-kes-covid-19-dikesan-new-zealand-terus-lockdown/

BACA JUGA : KKM kesan 43 kes melibatkan varian Delta