Tular hari ini beberapa gambar yang memaparkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dikatakan tidak mematuhi arahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melarang sebarang perhimpunan atau majlis sosial bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Gambar tersebut dipercayai dimuat naik menerusi Facebook Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, hari ini.
Semakan Malaysiapost di entri tersebut mendapati Mas Ermieyati memaklumkan lawatan Zuraida itu adalah pertemuannya ketika singgah di sebuah kedai yang terletak di Lubok China, Melaka.
“Sambil tu jumpa dengan pekebun-pekebun kecil dan juga orang kampung. Ada juga persoalan dari mereka kepada YB Menteri dan juga TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha) berbangkit berkenaan dengan getah/ kelapa sawit / Kelapa / gaharu.
“Kemudian saya ke kedai makan warisan Ibunda milik anak muda. Baru berusia 35 tahun. Dia perlukan tambahan meja kerana Kedai dah mula ramai orang. Anak-anak di perantauan ada yang balik jengah ibu ayah. Insyaallah saya akan usahakan.
“Kemudian saya ke kedai Abang Hendra. Menjual peralatan pejabat dan juga kedai fotokopi. Lama tak jumpa dia. Bertanya khabar dan sempat saya beli kertas A4 untuk kegunaan pejabat,” katanya dalam hantaran itu.
Rata-rata pengguna Facebook mempersoalkan aktiviti lawatan tersebut dibenarkan walhal ianya melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.
Netizen juga meminta KKM mengambil langkah memantau dan mengetatkan undang-undang terutamanya di Melaka ekoran SOP yang telah diumumkan tempoh hari bagi PRN Melaka.
Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Beliau menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.
Larangan tersebut berkuatkuasa bermula 25 hingga 27 November 2021.