Netizen kantoikan Muhyiddin tak pakai gelang pink, PMO nafi

Netizen kantoikan Muhyiddin tak pakai gelang pink, PMO nafi

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menafikan dakwaan Muhyiddin Yassin melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai gelang merah jambu sewaktu tempoh kuarantin wajib 14 hari.

Kenyataan itu menegaskan, ia adalah tidak benar.

Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM pada 5 Okt, kata PMO, Muhyiddin dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Sehubungan itu, katanya, perdana menteri tidak dikehendaki KKM memakai gelang pengawasan berkenaan.

“Justeru, dakwaan bahawa pedana menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar,” kata kenyataan itu.

Jelas PMO lagi, keputusan ujian saringan pengesanan Covid-19 yang dilakukan pada 5 Okt lalu ke atas presiden Bersatu itu disahkan negatif sehari kemudian.

Selain itu, tambah PMO, Muhyiddin juga melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 Sept.

Semua keputusan ujian tersebut, katanya, didapati negatif.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, Muhyiddin dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami sebarang gejala semasa tempoh pemantauan tersebut.

Namun, setakat ini keadaan kesihatan perdana menteri adalah baik.

Walaupun begitu, ahli parlimen Pagoh itu akan terus melakukan kuarantin kendiri sehingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh KKM.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/545551

COMMENTS