Nelayan tempatan boleh pasarkan hasil tangkapan melalui CCDC – LKIM

Nelayan tempatan kini boleh memasarkan hasil tangkapan mereka tanpa bergantung dengan orang tengah melalui Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) Satang Biru di sini yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata pusat itu merupakan projek LKIM yang bertujuan menyediakan pusat sehenti pengumpulan hasil perikanan daripada nelayan dan pengusaha akuakultur tempatan serta menjual terus kepada peniaga.

“Ini adalah usaha kerajaan melalui LKIM untuk memendekkan rantaian bekalan (hasil perikanan) supaya harga yang ditawarkan di pasaran lebih berpatutan,” katanya berucap merasmikan CCDC Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru berdekatan Pejabat PNK Satang Biru, Telaga Air, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan LKIM Kusuadi Sallih, Pengarah LKIM Sarawak Azmi Othman dan Pengurus Besar PNK Satang Biru, Martinah Tarridie.

Antara komponen di CCDC PNK Satang Biru bernilai RM200,000 itu adalah bilik sejuk dengan kapasiti 10 tan, penyejuk beku bagas berkapasiti 200 kilogram, ruang kerja, ruang pengasingan dan lori kargo tiga tan.

Muhammad Faiz berkata di Sarawak, LKIM sudah menyediakan lima CCDC dan akan menyediakan lebih banyak lagi pusat tersebut bergantung kepada keperluan persatuan nelayan.

Beliau juga mengalakkan lebih ramai persatuan nelayan dalam industri akuakultur menjalankan ternakan udang yang akan menambah pendapatan ahlinya.

Setakat ini PNK Satang Biru dan sebuah persatuan nelayan di Melaka sudah terbabit dalam aktiviti itu, katanya.

“Kita mahu mereka (nelayan) terlibat perniagaan lain terutama (industri) akuakultur yang begitu dekat dengan nelayan kerana mereka memang mahir aktiviti perikanan dan mahir dengan sumber laut,” katanya.

Beliau berkata ketika ini PNK Satang Biru sudah mengusahakan 90 hektar kolam ternakan udang harimau dan udang putih.

Hasil ternakan itu mendapat pasaran yang baik dengan sebanyak 80 peratus untuk pasaran tempatan dan 20 peratus untuk eksport, katanya.