Negeri Melaka mencatatkan peningkatan kutipan zakat 13.5 peratus tahun 2019

Kutipan zakat fitrah negeri Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 13.5 peratus dengan rekod pada 2019 lebih RM4.46 juta berbanding tahun lalu dengan RM3.926 juta.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peningkatan jumlah zakat di negeri ini membabitkan dua kaedah pembayaran zakat fitrah berdasarkan jenis beras yang digunakan penduduk iaiti 88.53 peratus yang menggunakan beras super tempatan dan 11.46 peratus guna beras import dan basmathi.

“Kerajaan negeri ambil kira jenis beras digunakan majoriti rakyat sebagai kayu pengukur dalam penetapan dua kadar zakat berbeza, dan ini menggalakkan umat Islam membayar zakat mengikut beras dimakan supaya amalan lebih sempurna dan tepat disamping menambah amalan sedekah jariah.

“Jumlah peratus ini dibuat berdasarkan kajian dibuat Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani cawangan Melaka, dan kerajaan negeri menetapkan RM7 bagi beras super tempatan manakala RM14 bagi beras super import dan basmathi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14, di Seri Negeri di sini, tadi.

Sementara itu, Adly turut menjawab soalan dikemukakan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) berhubung pecahan kutipan bagi dua kaedah bayaran itu, iaitu 80.3 peratus atau RM3.98 juta bagi kutipan RM7 manakala 10.7 peratus atau RM477,890 bagi kutipan RM14 membabitkan 595,393 orang.

Kemudian, Adly (PH-Bukit Katil) kemudian menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) mengenai penjelasan zakat fitrah yang dibayar mengikut dua kaedah dan jumlah kutipan zakat berkenaan tahun ini dan tahun sebelumnya.

Berita Asal:https://melakakini.my/melaka-catat-kenaikan-zakat-fitrah-13-5-peratus/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook