Negeri lain sibuk umum pakej bantuan, Kedah sibuk nak batalkan cuti Thaipusam

Negeri lain sibuk umum pakej bantuan, Kedah sibuk nak batalkan cuti Thaipusam

Pemuda PKR (AMK) Kedah membidas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana belum mengumumkan pakej bantuan buat rakyat Kedah di kala penduduk negeri itu berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru yang bermula semalam.

Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari, berkata, sebaliknya, Muhammad Sanusi lebih memberikan tumpuan tentang isu pembatalan cuti Thaipusam, seperti yang heboh dilaporkan sebelum ini.

“AMK Kedah ternanti-nanti sebarang pengumuman pakej bantuan rakyat Kedah (Covid-19) dari Muhammad Sanusi Md Nor, menteri besar Kedah.

“Tetapi malangnya sehingga hari ini tiada sebarang pengumuman bantuan bagi membantu rakyat Kedah dalam tempoh pelaksanaan PKP ini.

“Malah lebih menyedihkan, menteri besar Kedah lebih tertumpu kepada pembatalan cuti peristiwa perayaan Thaipusam berbanding isu ini yang sepatutnya diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dia merujuk kenyataan Muhammad Sanusi 20 Januari lepas bahawa tiada cuti peristiwa untuk Kedah bagi perayaan Thaipusam tahun ini (28 Jan), susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Keputusan itu disusuli kecaman banyak pihak yang menganggapnya sebagai suatu keputusan yang tidak wajar, berat sebelah dan melampau.

Muhammad Sanusi mempertahankan keputusan itu bukanlah untuk menafikan hak penganut Hindu, tetapi kerana memang penduduk sedang ‘dicutikan’ akibat PKP, malah mendakwa Thaipusam hanya diberikan cuti peristiwa sejak dua tahun lalu, meskipun cuti diberi untuk perayaan itu sejak 2014.

Kata Mohammed Firdaus, satu peruntukan khas harus diluluskan di bawah pakej bantuan khas bagi membantu kumpulan sasaran yang terjejas dan memerlukan bantuan.

Ia juga dapat melancarkan aliran aliran tunai serta mengurangkan impak serta kos operasi yang terpaksa ditanggung dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Kedah, seperti semua negeri lain di Malaysia – kecuali Sarawak – dikenakan PKP bermula 22 Jan hingga 4 Feb, menyusuli beberapa negeri lain dan wilayah persekutuan yang dikenakan perintah itu lebih awal.

Keputusan itu dibuat setelah purata kes meningkat di negeri-negeri berkenaan.

Oleh hal yang demikian, Mohammed Firdaus mencadangkan agar menteri besar dan kerajaan negeri mengenal pasti kumpulan sasar yang memerlukan bantuan daripada pakej bantuan yang belum diumumkan itu.

Antara yang dicadangkan, termasuklah peniaga dan penjaja gerai, pasar, kantin sekolah; penoreh getah; pesawah dan petani; nelayan; golongan B40 dan M40 yang layak menerima bantuan bakul makanan.

Tidak ketinggalan pelajar sekolah yang tidak mempunyai peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, serta waris atau kontak rapat Covid-19 yang dikuarantin dan tidak dapat keluar membeli makanan dan barangan dapur.

Antara negeri yang sudah mengumumkan pakej bantuan terbaru bagi meringankan beban rakyat berdepan PKP 2.0, termasuklah Pulau Pinang (RM20 juta) dan Selangor (lebih RM70 juta).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula pada 18 Januari mengumumkan Pakej Bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion.

Kedah sebelum ini ada mengumumkan bantuan dalam musim Covid-19, antaranya RM21 juta sejurus selepas PKP 1.0, Mac tahun lalu, serta peruntukan bantuan khas RM5.6 juta dalam belanjawan 2021 negeri yang diumumkan Nov tahun lalu.

Peruntukan itu untuk diberikan kepada penjawat awam, termasuk bayaran ‘one-off’ RM200 kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.-MK