Negara sudah jadi pasar borong, jual beli ‘orang politik’ – Pemuda AMANAH

Negara sudah jadi pasar borong, jual beli ‘orang politik’ – Pemuda AMANAH

Politik yang sepatutnya menjadi medan khidmat dan bakti akhirnya hanya ‘pasar borong’ dengan jualan sokongan para politikus bangsat, selar Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin.

Penampilan sulung beliau sebagai ketua sayap parti itu, Shazni lantang mengecam Langkah Sheraton sebagai menjijikkan dan menjadi punca utama politik negara berada pada kedudukan paling tidak menentu.

Tegasnya, ketidaktentuan politik akhirnya telah memangsakan rakyat terbanyak terutama pihak terpenting yang sewajarnya dibela ketika negara berdepan dengan krisis pandemik.

“Krisis terburuk yang telah mengorbankan nyawa ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, bahkan turut mengakibatkan mereka yang hidup seolah-olah telah mati akibat kesempitan hidup.

“Di sinilah letak duduknya peranan Pemuda AMANAH dalam memimpin anak muda tanpa mengira kaum dan agama demi menolak politikus rakus yang sibuk menaikkan elaun dan gaji sendiri, tapi cukup payah untuk membebaskan keperitan hidup rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Kovensyen Pemuda AMANAH Nasional kali Ke-5 di Pusat Konvensyen Bayou Lagoon di Bukit Katil, Melaka hari ini.

Perwakilan Pemuda AMANAH hadir konvensyen dengan mematuhi SOP mencegah penularan Covid-19.

Sementara itu kata Shazni, tema besar Memimpin Gerakan Kepemudaan kali ini diharap mampu menjadi agenda magnet dalam mengikat parti-parti pembangkang dalam membentuk gabungan politik besar dan kuat.

Menurutnya, dengan jangkaan majoriti pengundi dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti adalah segmen berumur 21 hingga 40 tahun, penting agar satu dasar yang realistik diperjuangkan demi generasi masa depan.

“Zaman untuk anak-anak muda bermain di pinggiran telah berakhir.

“Sekarang adalah zaman di mana para senior dan ‘otai’ bersama anak-anak mula lainnya berperah otak dan keringat, berjuang atas maksud baik yang ingin dicapai,” katanya

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/politikus-bangsat-jadikan-negara-dah-macam-pasar-borong/

COMMENTS