Negara rugi RM2.4 bilion sehari kerana PKP 1.0 dahulu – Muhyiddin

Negara rugi RM2.4 bilion sehari kerana PKP 1.0 dahulu – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin hari ini mengakui secara peribadi dia berpendapat melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) total seperti pernah dilaksanakan kali pertama pada tahun lalu adalah cara terbaik mengekang Covid-19.

Malah menurut perdana menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang mencadangkan pelaksanaan PKP total sebagai pilihan terbaik

Pun begitu Muhyiddin menjelaskan kesan ekonomi yang diakibatkan oleh pelaksanaan PKP total sangat besar dan ekonomi negara hampir runtuh sehingga beratus bilion diperlukan untuk memulihkan keadaan.

“Secara peribadi… itu (PKP total) adalah pilihan terbaik. Ia bermaksud penutupan penuh. Kilang-kilang juga tutup, semua orang duduk di rumah.

“Itu akan menjamin keselamatan dan lebih memudahkan keadaan untuk kerajaan dan KKM untuk menguruskan (pandemik),” katanya.

Tambah presiden Bersatu itu pelaksanaan PKP 1.0 dulu menyebabkan kerugian RM2.4 bilion sehari dan ramai orang kehilangan pekerjaan.

Untuk memulihkan keadaan, katanya, kerajaan membelanjakan RM340 bilion melalui enam pakej rangsangan ekonomi.

Tambah Muhyiddin pelaksanaan PKP 1.0 boleh menyebabkan kerugian sehingga setengah trilion ringgit kepada negara.

Ahli parlimen Pagoh itu secara spontan dan bergurau kemudian bertanya kepada wartawan yang menemu bualnya sama ada dia memiliki wang sebanyak itu.

“Kalau ada duit, bagi saya, saya kata kita boleh tutup semua,” katanya pada sesi temu bual dengan Bernama TV malam ini.

Menurut perdana menteri lagi apabila PKP total ditamatkan mungkin sistem ekonomi negara sudah runtuh sepenuhnya.

Justeru kata Muhyiddin kerajaan cuba mencari keseimbangan di antara keperluan semasa rakyat dan negara.

“Saya tak mau lihat rakyat saya terkorban hanya kerana saya dan saya juga tak mahu ekonomi runtuh sehingga rakyat tak ada pendapatan dan kerajaan perlu bawa makanan ke rumah-rumah,” katanya.

Justeru katanya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP 3.0 diperketatkan seperti yang diputuskan baru-baru ini.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan situasi dan keperluan semasa

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/575847