Natrah simbol wakil rakyat yang tidak boleh dijual beli

Suhu politik negara semakin panas minggu ini dengan kisah pemimpin lompat melompat parti.

Dua Yang Berhormat daripada parti Amanah menyertai parti PKR.

Tidak ketinggalan dua ahli Parlimen PKR masing-masing Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong keluar PKR menjadi ahli Parlimen Bebas tetapi menyokong kepimpinan Perikatan Nasioanl (PN).

Namun, di sebalik kisah YB itu, seorang Ahli Parlimen wanita tanpa disangka menunjukkan semangat kesetiaan yang lebih tinggi kepada partinya apabila menolak tawaran untuk beralih sokongan parti.

Nama Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail hangat diperkatakan sejak Khamis lalu selepas beliau mendakwa dihampiri dua individu yang menawarkan pelbagai ganjaran kepadanya.

Wartawan Sinar Ahad, Rosalwani Che Soh mendapatkan temubual eksklusif dengan Natrah, 71, bagi mendalami isi hati pemimpin itu.

SINAR AHAD: Sejak Khamis lalu kecoh apabila YB membuat dakwaan didatangi dua individu termasuk bergelar Datuk Seri yang meminta memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan. Boleh YB kongsikan detik-detik tersebut dan apakah janji atau tawaran pihak berkenaan?

NATRAH: Individu tersebut telah datang berjumpa dengan saya di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang pada 3 Mac 2021, pada jam 11 pagi dan telah bertanya sama ada saya bersetuju untuk bersama dalam kumpulan Perikatan Nasional (PN) atau Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam perbualan kami, beliau juga menyatakan bahawa PM ialah seorang yang rajin bekerja dan suka menolong orang.

Memandangkan perbualan kami itu akan menjurus kepada satu tawaran untuk bersama-sama dengan kepimpinan kerajaan yang ada sekarang saya terus menyatakan bahawa saya tidak berminat dan akan tetap bersama dengan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH). Saya menolak tawaran tersebut disebabkan oleh prinsip-prinsip perjuangan yang saya dokong di dalam parti PKR.

Pada pendapat YB, mengapa YB menjadi sasaran pelobi politik itu? Adakah mereka melihat YB seorang ahli Parlimen yang mudah dipujuk untuk beralih arah?

Saya percaya individu berkenaan bukan hanya menyasarkan kepada saya seorang sahaja tetapi juga menyasarkan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang lain di Johor. Individu berkenaan berasal dari Johor dan saya percaya mereka telah memerhatikan setiap gerak-geri ahli-ahli Parlimen Pembangkang di negeri Johor. Sudah tentu mereka mempunyai sebab dan kriteria tertentu dalam pemilihan saya sebagai sasaran mereka. Walau apapun alasan mereka, yang penting saya bukan bahan dagangan yang boleh dijual beli.

Mengapa YB menolak pujukan individu tersebut? Adakah kerana sayangkan PKR atau tidak mahu digelar pengkhianat atau ada sebab lain?

Saya menolak tawaran mereka atas dasar prinsip, perjuangan saya dalam parti dan mandat serta amanah yang telah diberikan oleh pengundi-pengundi kepada saya pada PRU-14. Saya sayangkan PKR dan saya tidak sanggup untuk mengkhianati pengundi saya kerana merekalah saya berada di tempat sekarang.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa rakyat telah memilih wakil mereka bukan kerana mereka ialah Ahmad, Ah Chong, Muthusamy atau Zaleha. Mereka memilih atas dasar seseorang calon itu telah menyatakan kepada mereka tentang bagaimana calon tersebut dan parti mereka dapat berkhidmat kepada mereka apabila dipilih kelak.

Saya tidak akan sesekali bersekongkol dengan mana-mana tindakan yang akan mengalihkan fokus saya sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih secara sah. Saya akan terus berkhidmat, menyelusuri denyut hati rakyat dan memperjuangkan suara serta permasalahan rakyat di Parlimen. Saya bukanlah individu yang mencari keuntungan peribadi dengan mengkhianati mandat dan amanah yang telah diberikan.

Mungkin ada pihak mendakwa, pendedahan YB hanyalah rekaan sebab tidak ada bukti. Kalau ditanya mengenai bukti ada apa-apa bukti yang boleh YB kemukakan? Atau YB sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa atau Biro Politik PKR?

Bukti tetap ada. Dalam zaman teknologi serba canggih ini tidak susah untuk mendapatkan bukti. Buat masa ini saya merasakan cukup sekadar bukti-bukti tersebut saya kongsikan bersama pucuk pimpinan parti untuk tindakan seterusnya. Laporan kepada pucuk pimpinan telah saya buat dan dengan bukti tersebut mereka kini lebih yakin bahawa ada usaha-usaha dari pihak lawan untuk menarik lebih ramai ahli Parlimen daripada PKR untuk menyertai mereka.

Beberapa hari lalu, dua ahli Parlimen PKR keluar daripada parti, dan menyatakan sokongan kepada kerajaan? Apakah mesej atau kata-kata YB kepada ahli Parlimen yang melompat parti?

Mesej saya mudah. Setelah bertarung sekian lama dalam perjuangan parti, akhirnya anda kecundang dengan lambaian kedudukan, pangkat dan wang.

Di manakah jati diri anda? Anda sanggup mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat dan hanya mementingkan diri sendiri? Fikirkan semula harapan tinggi yang diberikan oleh rakyat semasa PRU-14 sehinggakan ia diterjemah dengan kemenangan anda sebagai pemimpin bagi mewakili mereka!

Adakah pada pendapat YB, Malaysia perlu mengadakan satu undang-undang khas berkaitan perbuatan lompat parti bagi mengelakkan tindakan seperti ini berleluasa sehingga boleh meruntuhkan sebuah kerajaan?

Cadangan untuk mengadakan satu undang-udang khas bagi mengekang tindakan melompat parti bukanlah sesuatu yang baru.

Bagi saya, sudah sampai masanya mereka yang bergelar wakil rakyat menunjukkan kematangan dalam tugas masing-masing. Tindakan dan budaya melompat parti ini bukan sahaja memperlihatkan runtuhnya sebuah kerajaan sah yang dibentuk daripada majoriti ahli Dewan Rakyat bahkan ia juga akan meranapkan sistem demokrasi di negara kita.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127265/BERITA/Wawancara/Saya-bukan-bahan-dagangan-untuk-dijual-beli

COMMENTS

Wordpress (0)