Nak jimat petrol, pelajar nekad naik gajah ke sekolah curi tumpuan. Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di wilayah Buriram, Thailand menjadi sensasi TikTok selepas menunggang gajah ke sekolah untuk membantu keluarga menjimatkan kos bahan api.
Lapor thethaiger.com, bapa kanak-kanak itu, Wisanchol memberitahu keluarganya memiliki empat ekor gajah dan mereka bersama-sama menjaga haiwan tersebut.
Rakaman video memaparkan anak perempuan Wisanchol iaitu Pupae menunggang seekor gajah ketika dalam perjalanan ke sekolah, menjadi tular dalam media sosial.
Gajah jantan yang ditunggang oleh Pupae bernama Ole.
Beberapa video TikTok yang tular memaparkan Pupae dengan mengenakan pakaian sekolah sedang menunggang Ole dan melalui penduduk di kawasan itu.
Satu daripada video itu mendapat lebih 57,000 tanda suka.
Sementara itu, Wisanchol memaklumkan anak perempuannya sangat rapat dengan Ole sejak kecil lagi.
Katanya, Pupae juga membantu keluarganya menjaga Ole dengan memberi makanan dan memandikan gajah tersebut.
“Pupae mula menunggang Ole ketia dia berumur enam tahun.
“Malah, Pupae berharap untuk menjadi doktor haiwan apabila dewasa agar dia boleh terus menjaga gajah berkenaan,” katanya.
Gajah dimiliki Wisanchol sebelum ini melakukan persembahan untuk pelancong di Ayutthaya namun keluarganya terpaksa berpindah semula ke Buriram selepas pandemik Covid-19.
BACA:
Cara mohon bantuan RM60,000 untuk bina rumah kos rendah
Khabar angin Pan-gon kembali ke Korea Selatan bertiup kencang