Najib persoal kes semakin turun adakah kerana saringan makin berkurangan?

Dalam

Bekas perdana menteri Najib Razak menuntut penjelasan kerajaan berhubung penurunan ketaran jumlah baru kes positif Covid-19 iaitu jika penurunan itu berkait dengan jumlah saringan yang dikurangkan.

Katanya, rakyat Malaysia menyambut baik penurunan jumlah kes baru Covid-19 yang diumum setiap hari, tetapi rakyat juga berhak tahu jika penurunan itu adalah akibat jumlah saringan yang banyak dikurangkan.

“Ramai masih tertanya-tanya kenapa jumlah kes positif turun begitu ketara tetapi jumlah kluster baru dikesan setiap hari tetap tinggi.

“Sebab ini soal kesihatan awam, kita harap Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan memberi data bagi jumlah saringan dibuat serta kadar positif terkini apabila mengumumkan jumlah kes positif setiap hari,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Malaysia terus merekodkan penurunan kes baru jangkitan wabak Covid-19 dalam tempoh 24 jam l dengan mencatatkan 2,176 kes positif.

Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga kes baru kurang daripada angka 3,000 dalam bulan ini dengan 2,464 kes baharu dilaporkan pada Ahad manakala 2,764 kes dicatatkan pada 9 Februari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes di seluruh negara setakat ini adalah 266,445 kes dengan kes aktif sebanyak 47,135.

Najib berkata dia diberi maklumat bahawa jumlah saringan Covid-19 setiap hari dibuat KKM telah jatuh sejak minggu lepas mengakibatkan jumlah kes positif Covid-19 yang dilapor juga turut jatuh.

“Adakah penurunan yang ketara bagi jumlah saringan setiap hari akibat langkah KKM yang diumum bulan lepas bahawa KKM tidak lagi akan saring semua kontak rapat kes positif?

“Sebaliknya, hanya kontak rapat yang menunjukkan gejala akan disaring.

Sedia maklum bahawa sekitar 80 peratus mereka yang positif Covid tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563141

COMMENTS

Wordpress (0)