Najib kata sedang kuarantin, tapi kereta berderet depan rumah cetus tanda tanya

Najib kata sedang kuarantin, tapi kereta berderet depan rumah cetus tanda tanya.Datuk Seri Najib Razak semalam gagal hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mendengar prosiding permohonannya berhubung kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC) dan memberi alasan menjadi kontak kasual pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, timbul persoalan kebenaran sama ada bekas Perdana Menteri (PM) itu sedang menjalani kuarantin kendiri seperti didakwanya atau sekadar mencari alasan untuk mengelak daripada menghadiri hari penentu esok.

Semalam Najib berkongsi satu hantaran Facebook mengadakan majlis bacaan Yasin di kediamannya di Langgak Duta.

Dalam hantaran tersebut, Najib berkata terpaksa mengadakan majlis secara maya kerana sedang menjalani kuarantin dan tidak dapat bersama dengan tetamu lain.

Namun, tular dalam media sosial beberapa gambar berserta video selepas hantaran yang dikongsi Najib terdapat deretan kereta di depan kediamannya sehingga ke bahu jalan malam ini.

Sekurang-kurangnya 20 biji kenderaan dilihat berada di depan rumah Najib, terdapat juga kelibat beberapa orang memasuki kediamannya menerusi video yang tular tersebut.

Jika Najib sedang menjalani kuarantin kendiri, bagaimana pula boleh orang ramai berkumpul di kediamannya malam ini walhal ia tidak sepatutnya berlaku.

Awal hari ini, Najib diberi kata dua Hakim Mahkamah Rayuan supaya menghadiri prosiding secara dalam talian atau waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Najib menghadiri sesi prosiding yang bersambung 12.30 tengahari secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung kepada media di Istana Kehakiman hari ini.

Prosiding hari ini mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru yang boleh menguatkan kesnya dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC dihadapinya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan kekal dengan kenyataan awal akan membuat keputusan berhubung rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC, jam jam 9 pagi esok, 8 Disember 2021

BACA: Kadar kenaikan harga barang tidak seteruk negara lain – Timb Menteri

Artikel ini disiarkan pada 08/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)