Najib dakwa J-Kom bawah Muhyiddin sengaja wujudkan propaganda burukkan Umno

Bekas perdana menteri, Najib Razak mendakwa “kluster mahkamah” adalah propaganda terbaru Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyerang Umno.

Najib berkata, propaganda dimainkan J-Kom kononnya mereka yang tersenarai dalam kluster mahkamah tidak mahu berbaik dengan Bersatu kerana ingin melepaskan diri.

“…’Kluster mahkamah’ adalah antara propaganda yang digunakan Jkom untuk menyerang Umno yang tidak mahu berpakat dengan PPBM (Bersatu) dalam PRU-15 walaupun dari permulaan terbentuknya kerajaan PN, Umno telah dengan sangat jelas menyatakan pendirian ini.

“Kononnya mereka yang tersenarai dalam kluster mahkamah tidak mahu berbaik dengan PPBM sebab mahu melepaskan diri.

“Secara logik, mereka yang mahu melepaskan diri patut mengampu PPBM, bukan tidak sehaluan dengan kehendak PPBM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Untuk rekod Najib dikaitkan dengan keputusan mahkamah yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah dalam skandal SRC International.

Najib juga turut dikaitkan dengan salah laku membabitkan skandal syarikat 1MDB dan sedang dibicarakan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula dikaitkan dengan kesalahan jenayah berhubung penyelewengan duit Yayasan Akal Budi.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan veteran Umno Shahrir Samad pula didakwa menerima dana dari Najib sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Najib berkata bekas pemimpin yang dikaitkan dengan penyelewengan “dibebaskan” selepas menyertai Bersatu.

Najib memberi contoh bekas pemimpin Umno seperti Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed.

“Mas Ermieyati dan Tok Pa juga menerima dana dari saya sebelum PRU-14 tetapi tidak didakawa setelah mengampu PPBM. Sebab itu, mereka bukan dalam kluster mahkamah.

“Menteri kanan paling kanan kerajaan PN juga tidak didakwa atas alasan video tak cukup HD dan dengan itu, tidak tersenarai dalam kluster mahkamah sebab mengampu PPBM.

“Senator PPBM yang sendiri mengaku menerima dana antara RM50,000 hingga RM2 juta dalam kes Isa Samad juga tidak didakwa dan tidak berada dalam kluster mahkamah setelah mengampu PPBM,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/565412

COMMENTS

Wordpress (0)