Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memohon kerajaan pertimbangkan kembali pembukaan tender untuk membekalkan baja padi bersubsidi bagi tahun 2020 kepada pihak swasta.
Pengerusinya Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata sebelum ini tender membekalkan baja bersubsidi diberikan oleh kerajaan kepada NAFAS melalui rundingan harga, namun apabila berlakunya perubahan kerajaan pembukaan tender telah mula dibuka kepada pihak lain.
Beliau berkata sekiranya tender itu diberikan kepada pihak lain ia bukan sahaja menjejaskan sebahagian besar operasi perniagaan NAFAS, malahan turut memberi kesan kepada 900,000 petani dan peladang yang menjadi pemegang saham di pertubuhan itu.
“Sebanyak 96 peratus perniagaan teras NAFAS adalah bergantung kepada baja, dan sekiranya tender itu diberi kepada pihak lain, NAFAS tidak dapat menjalankan apa-apa operasi dan mengambil masa yang lama untuk memulakan perniagaan yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya kerajaan telah mengeluarkan surat tawaran tender bermula Rabu lepas hingga 29 Ogos ini bagi pembekalan baja padi bersubsidi.
Phahrolrazi berkata pada Jun tahun lepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah membuka tender kepada pihak lain yang mana ketika itu pengurusan NAFAS telah digantung oleh Lembaga Pertubuhan Peladang selama enam bulan.
“Selepas pengurusan NAFAS diambil alih oleh ahli jemaah NAFAS yang baharu pada Januari lepas, kita telah membuat rayuan kepada pihak kerajaan dan kerajaan telah bersetuju memberikan kontrak membekalkan baja bersubsidi 2019 secara berfasa kepada kita,” katanya.
BERNAMA