MySejahtera akan ditambahbaik, boleh pilih jenis vaksin untuk disuntik – Khairy

Orang ramai tidak lama lagi boleh memilih jenis vaksin yang mereka kehendaki.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pihaknya sedang meneliti untuk memberikan pilihan itu kepada orang ramai melalui aplikasi MySejahtera.

“Saya sedang melihat satu kemudahan yang mungkin diberi kepada orang ramai di mana boleh buat pilihan pada vaksin yang mereka akan terima melalui sistem MySJ yang akan ditambah baik tak lama nanti,” katanya kepada wartawan semasa sidang media secara maya petang ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu mengadakan sidang media berkenaan untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), susulan pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca semalam.

Sejak PICK dimulakan pada Februari lalu, penerima tidak diberi pilihan untuk memilih jenis vaksin yang mereka terima.

Pengecualian kemudiannya dibuat bagi vaksin AstraZeneca apabila kerajaan mengeluarkan vaksin itu daripada senarai PICK kerana kebimbangan pihak tertentu mengenai kes pembekuan darah yang dilaporkan di kalangan penerima di negara lain.

Untuk rekod, setakat ini, hanya tiga vaksin daripada tiga pengeluar yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Khairy memberitahu wartawan bahawa Jawatankuasa Pasukan Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) masih meneliti kaedah yang akan digunakan dan menjangkakan lebih banyak perkembangan akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu.

Antara yang sedang diteliti termasuk memberikan pilihan kepada pengguna MySejahtera untuk memilih tarikh janji temu dan tempat bagi menerima vaksin.

“Kita nak prosesnya semudah yang boleh,” katanya.

Menteri itu juga menegaskan tiada lagi tempahan dalam talian melalui laman sesawang seperti yang dilakukan bagi pendaftaran AstraZeneca semalam, dengan mengatakan mereka telah belajar daripada kelemahan tersebut.

Untuk rekod, CITF dan Khairy sendiri menerima banyak kritikan sejak semalam apabila sistem yang digunakan bagi proses pendaftaran vaksin AstraZeneca mengalami masalah teknikal.

Keadaan ini menyebabkan ramai yang tidak mendapat slot temu janji untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/576399

COMMENTS

Wordpress (0)