mySalam : 1.1 juta tuntutan diterima, ini cara anda mampu manfaatkannya

mySalam : 1.1 juta tuntutan diterima, ini cara anda mampu manfaatkannya. Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah membuka mata orang ramai agar lebih cenderung memberi perhatian kepada kesihatan diri.

Masyarakat juga semakin sedar akan kepentingan melanggan takaful sebagai jaminan kesihatan sekiranya berlaku kecemasan yang berkait dengan perihal kesihatan.

Namun, terdapat golongan yang tidak mampu melanggan takaful khususnya golongan B40.

Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam), yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB).

mySalam menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 bagi melindungi diri apabila musibah menimpa.

Ketua Skim mySalam, Khairul Anuar Che Yeop berkata, skim perlindungan takaful tersebut ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai atau khususnya penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurut beliau, bagi tahun ketiga skim tersebut, peningkatan ketara dapat dilihat selepas pelbagai manfaat diperkenalkan kepada orang ramai khususnya bagi ahli mySalam sendiri.

“Pihak kami menerima sebanyak 950,000 jumlah tuntutan pada tahun ini sahaja berbanding 163,778 pada tahun lepas, manakala 18,946 tuntutan pada tahun 2019.

“Daripada jumlah tersebut kira-kira 1.1 juta jumlah tuntutan yang diperoleh pihak mySalam dengan peningkatan sebanyak 480 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

KHAIRUL ANUAR
Tambah Khairul Anuar, tuntutan yang paling banyak diterima adalah tuntutan berkaitan Covid-19.

“Semasa pandemik melanda seluruh dunia pada tahun 2020, jumlah tuntutan adalah sebanyak 67,429, sementara pada tahun ini pula berjumlah 670,000.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 894 peratus tuntutan daripada orang golongan B40 yang dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 2020 dan 2021,” ujarnya.

Dalam pada itu, tuntutan daripada golongan penyakit kritikal juga turut bertambah setelah mySalam memperkenalkan kemudahan tersebut pada tahun 2019.

Katanya, skim mySalam mempunyai sebanyak 45 jenis penyakit kritikal yang boleh dilindungi.

“Pada tahun 2019, jumlah tuntutan bagi penyakit-penyakit kritikal sebanyak 4,924, manakala pada tahun 2020 pula berjumlah 15,540.

“Sementara pada tahun ini sahaja sebanyak 25,000 jumlah tuntutan penyakit-penyakit kritikal daripada ahli mySalam dengan peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding tahun lalu,” jelasnya.

Tambah Khairul Anuar, pihak mySalam akan membuat pembayaran tunai RM8,000 sekali seumur hidup, pampasan kemasukan hospital maksimum 14 hari dengan nilai RM50 untuk satu malam bagi kemasukan ke wad.

JUMLAH tuntutan mySalam semakin bertambah dari tahun ke tahun kerana kesedaran orang ramai tentang kemudahan tersebut.
Seterusnya, bermula pada 1 April lalu, skim takaful itu juga menawarkan bantuan peralatan perubatan seperti alat bantuan pendengaran, alat pacu jantung dan pelbagai alat lain yang membantu ahli MySalam menjalani hidup dengan lebih baik.

“Namun, bantuan ini hanya tertakluk kepada bantuan alatan yang disenaraikan sahaja dan perkhidmatan untuk mendapatkan peranti perubatan oleh para ahli mySalam telah bermula pada 1 April 2021.

“Manfaat ini akan diperluaskan kepada anak-anak ahli mySalam yang memerlukan bantuan bermula 1 Januari 2022,” jelasnya.

Tambah Khairul, nilai tuntutan juga telah bertambah setiap tahun sepanjang skim dilaksanakan.

“Pada tahun 2019 sebanyak RM11,536,650 jumlah nilai yang dituntut, manakala pada tahun 2020 pula RM99,235,800.

“Bagi tahun 2021 jumlah nilai tuntutan sebanyak RM250 juta menunjukkan peningkatan sebanyak 152 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Khairul Anuar memberitahu, adalah rugi jika pesakit yang dirawat di hospital tidak membuat tuntutan kerana dana yang diperuntukkan untuk skim mySalam oleh kerajaan bagi membantu golongan B40 adalah besar jumlahnya.

mySalam : 1.1 juta tuntutan diterima, ini cara anda mampu manfaatkannya

Beliau berharap orang ramai akan lebih cakna tentang skim mySalam dengan menyemak kelayakan mereka di laman web mySalam di www.mysalam.com.my.

Pelanggan juga bakal menikmati kelebihan perlindungan percuma yang diberikan oleh mySalam pada masa akan datang.

Selain itu, untuk mendapatkan keterangan lanjut, orang ramai boleh berkunjung ke 141 kios atau menghubungi di talian 1-300-888-938, melayari www.mysalam.com.my atau emel [email protected] dan mengikuti @mysalamb40.

BACA JUGA : Cameron Highland kini lengang walaupun cuti umum, ini puncanya…
Cahaya misteri muncul dilangit cetus kegelisahan penduduk, hilang setelah disambar kilat
Vaksin Covid : Tular lelaki meninggal dunia kerana dos penggalak, isteri tampil buat penjelasan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)