MyAqsa Defenders berjaya kutip RM17.8 juta dana untuk bantu Palestin dari rakyat Malaysia

MyAqsa Defenders berjaya kutip RM17.8 juta dana untuk bantu Palestin dari rakyat Malaysia

MyAqsa Defenders (MAD) berjaya mengumpul dana berjumlah RM17.8 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia sehingga semalam yang akan disalurkan bagi tujuan kemanusiaan dan kebajikan rakyat Palestin.

MAD, yang merupakan gabungan anak muda daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan, dalam kenyataan semalam memaklumkan dana itu akan disalur secara berperingkat dengan Fasa 1 adalah untuk Klinik Malaysia-Al-Aqsa, Khidmat Guaman di Sheikh Jarrah, Kafalah Keluarga Miskin di Baitul Maqdis dan Gaza Emergency Relief.

“Kempen khusus pengumpulan dana daripada NGO ahli gabungan dijalankan sejak hari pertama serangan Israel.

“Hasil sumbangan menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia kepada perjuangan pembebasan isu Palestin dan kepercayaan kepada gabungan ini untuk menguruskan amanah dengan telus dan penuh integriti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut gabungan tersebut amat komited dengan agenda tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan program serta projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air.

“MAD mengadaptasi kerangka semak dan imbang dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran termasuklah mewujudkan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2030 yang menjadi kayu ukur kelestarian impak sosial kepada masyarakat penerima manfaat di Palestin,” menurut kenyataan itu.

Antara NGO di bawah gabungan itu ialah Cinta Gaza Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Al Azhar Care, Cinta Syria Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Cakna Palestin.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/myaqsa-defenders-kumpul-rm178-juta-dana-untuk-palestin-298851