Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan musim bunga Tekoma sebagai produk pelancongan baharu bagi negeri ini pada masa hadapan, kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jalani Khamis.
Beliau berkata, bagi membina landskap ala musim bunga sakura yang terdapat di Jepun, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperbanyakkan lagi bilangan pokok tekoma agar dapat membentuk landskap yang indah dan berwarna-warni.
“Dalam masa terdekat kita akan cuba mengenal pasti pembekal yang mampu memenuhi permintaan bagi membekalkan anak pokok tekoma yang berkualiti bagi menimbulkan suasana musim bunga sakura seperti yang terdapat di negeri Matahari Terbit.
“Kita juga akan mengadakan penyelenggaraan bagi pokok yang sedia ada agar ia terus subur. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan yang dilontarkan oleh penduduk negeri ini untuk membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat Melaka,” katanya ketika diminta mengulas laporan Bernama hari ini tentang pandangan rakyat yang meminta Kerajaan Negeri menjadikan musim bunga tekoma sebagai produk pelancongan baharu Melaka.
Muhamad Jailani berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji satu persatu cadangan baik yang diterima daripada orang ramai dan akan cuba laksanakannya untuk kebaikan semua.
Kerajaan Negeri juga berharap usaha menjadikan musim bunga tekoma akan dapat menambah punca pendapatan tambahan kepada rakyat negeri ini menerusi aktiviti pelancongan.
Berdasarkan data dalam Sistem Inventori Pokok Negeri Melaka ([email protected]), setakat ini ada 1,355 batang pokok spesis itu di negeri ini.
Pokok itu atau nama saintifiknya ‘Tecoma stans’ daripada keluarga Bignoniaceae berasal dari benua Amerika, mempunyai tiga jenis warna iaitu putih, merah jambu dan kuning, yang kebiasaannya akan berbunga pada waktu cuaca panas dan kering