Mungkinkah krisis bekalan beras kerana Covid-19?

Mungkinkah krisis bekalan beras kerana Covid-19?

4 hari lepas, Vietnam telah menghentikan eksport beras mereka. Malaysia salah satu negara yang mengimport beras dari Vietnam. Selain Vietnam, Malaysia juga mengimport beras dari Thailand.

Sehingga 25 Mac 2020 beberapa negara melaksanakan tindakan melindungi keterjaminan bekalan makanan dalam negara masing-masing dengan melaksanakan arahan pemberhentian eksport untuk sementara misalnya Vietnam (beras), Khazakhstan (tepung gandum) dan Serbia (minyak masak dan barangan keperluan harian). Russia juga sedang mempertimbangkan larangan eksport bergantung kepada perkembangan semasa.

Jumlah import beras yang diperlukan untuk Self Suffieciency Level, SSL Malaysia ialah 30% ke 40%. Maknanya, bagi mencukupkan keperluan beras negara, agar dapat menampung perut-perut rakyat Malaysia, negara kena membeli 30% hingga 40% beras dari negara lain.

Purata makan bagi setiap seorang rakyat Malaysia ialah 78kg beras setahun. Atau 200,000 tan metrik sebulan seluruh negara atau kira-kira 3 juta tan metrik setahun.

Malaysia hanya mampu mengeluarkan beras sebanyak 60% hingga 70% atau kira-kira 2 juta tan metrik setahun. Selebihnya perlu mengimport dari negara pengeluar bagi memenuhi SSL 100% iaitu tambahan 1 juta hingga 1.5 juta tan metrik setahun.

Sekiranya negara pengimport menghentikan penjualan beras pada saat ini, maka setiap rakyat Malaysia perlu mengurangkan purata makan beras setahun sehingga 54.6kg setahun atau 0.15kg sehari.

Perlu diketahui, padi adalah tanaman yang hanya boleh menuai 2 hingga 3 kali setahun. Atau 4 bulan sekali tuai. Bermakna, kita perlu ada bekalan beras selama tempoh 4 bulan tersebut.

Kerajaan yang ada harus memastikan Food Security negara terjamin terutamanya makanan ruji yang sudah sinonim dengan perut rakyat Malaysia.

Semasa YB Salahuddin Ayub menjawat Menteri Pertanian, beliau telah melakukan beberapa usaha reformasi pertanian antaranya usaha meningkatkan pengeluaran beras sebanyak 5%. Ia bagi mengurangkan kebergantungan beras import yang saat itu menelan belanja sehingga RM1.18 bilion.

Perkembangan hari ini menyebabkan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras memberi pandangan agar kerajaan menghidupkan semula Lembaga Padi dan beras Negara antara lain kerana melihat kepentingan Food Security selepas ancaman Covid-19.

Sehingga kini, MKN memberi jaminan bekalan beras mencukupi bagi tempoh PKP. Ia adalah kenyataan yang dapat melegakan. Namun bagaimana pula 3,4,5 bulan seterusnya?

Malaysia mungkin lebih maju, dan ada duit. Namun banyak duit tidak berguna sekiranya negara pengeluar beras tidak mahu menjual beras kepada kita saat kita perlukannya. Kerana mereka juga ingin memastikan keterjaminan bekalan beras mencukupi untuk keperluan domestik dan rakyat mereka.

Nota:
Gambar sawah padi di bawah diambil dari belakang rumah. Saya adalah anak pengusaha padi dan membesar dengan hasil padi.