Muhyiddin tumpang populariti projek zaman Shafie Apdal…

Muhyiddin tumpang populariti projek zaman Shafie Apdal…

Projek Lok Kawi Resort City yang menjadi kemegahan Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah kononnya hasil usaha mereka membawa pembangunan ke negeri ini sebenarnya telah dimulakan semasa pemerintahan Parti Warisan Sabah.

Persetujuan pembinaan projek tersebut telah terlebih dahulu dijayakan oleh Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal pada Julai tahun lalu sewaktu masih menjadi Ketua Menteri Sabah.

Perjanjian pembangunan bersama itu dimeterai di pejabat Mohd. Shafie pada 3 Julai 2020 antara Yayasan Sabah dengan anak syarikat hartanah terkemuka antarabangsa Pavillion Real Estate Investment Trust iaitu Tegas Bangsa Sdn. Bhd. (Tegas Bangsa).

Ketua WIRAWATI Warisan Putatan, Izzatul Aini berkata, kehadiran pelabur itu di pejabat Mohd. Shafie untuk memeterai perjanjian dilakukan ketika ekonomi Malaysia diambang kejatuhan akibat pandemik COVID-19 yang membuktikan kerja keras beliau untuk membangunkan negeri ini tidak pernah terhenti.

Bagaimanapun katanya, pemimpin-pemimpin UMNO, PBS dan STAR ketika itu memperlekehkan projek tersebut, kononnya hanya angan-angan kosong.

“Tetapi sudah terbukti bahawa projek di Meruntum itu bukanlah angan-angan kosong kerana bakal menjadi kenyataan dengan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi majlis pecah tanah.

“Inilah yang dinamakan umpama lembu punya susu, sapi dapat nama. Hasil kerja keras Mohd. Shafie tetapi Muhyiddin dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ambil kredit kononnya mereka berjaya membawa pembangunan ke Sabah.

Majlis menandatangani perjanjian pembinaan Projek Lok Kawi Resort City antara Yayasan Sabah dan syarikat pemaju dimeterai di pejabat Shafie pada 3 Julai 2020.

“Pemimpin-pemimpin ini tidak tahu malu kerena dulu mereka tuduh bermacam-macam tetapi hari ini mereka berbangga, Muhyiddin dan GRS bermegah atas usaha orang lain,” tegas beliau.

Izzatul berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) dan GRS tidak menyebut sedikit pun usaha WARISAN atas kejayaan menarik pelaburan itu, rakyat Sabah tahu fakta sebenarnya.

Katanya, sepanjang WARISAN memerintah Mohd. Shafie tidak pernah melupakan amanahnya untuk membangunkan negeri, namun segala perancangan yang dibuat rosak akibat tindakan katak politik.

“Tidak mengapalah jika mereka mendakwa itu hasil usaha PN atau GRS kerana hakikatnya Mohd. Shafie dan WARISAN yang membuka laluan kepada projek bernilai RM7 bilion itu.

“Semua sudah terjawab bahawa Mohd. Shafie berusaha keras demi rakyat Sabah dan kini PN serta GRS hanya menumpang kejayaan hasil usaha beliau,” tambah Izzatul.

Berita penuh : https://thesabahtoday.news.blog/2021/03/22/lok-kawi-resort-city-dibanggakan-muhyiddin-hasil-usaha-shafie/